BATU PAHAT, 5 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor bersedia meneliti dan membantu dari segi keperluan asas di sekolah-sekolah di negeri berkenaan bagi memperkukuh aspek keselamatan untuk mengelak kejadian yang menimpa Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, di sebuah sekolah menengah di Yong Peng di sini berulang.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata beliau dan kerajaan negeri akan sentiasa menyokong setiap tindakan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), terutama untuk memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi tertentu di sesebuah sekolah.
Beliau berkata pihak kerajaan negeri telah mendapat laporan berkaitan kes berkenaan dan akan meneliti bentuk bantuan dari setiap segi serta peluang bagi memastikan keselamatan murid dan pelajar sekolah lebih terjamin.
“Kami di Johor ini mempunyai ribuan sekolah dan kami akan bantu… soal keselamatan di sekolah perlu dilihat dengan lebih teliti. Insya-Allah saya akan berhubung dengan pihak kementerian (Kementerian Pendidikan) berkaitan isu keselamatan pelajar di sekolah.
“Bagi kes Irene (Sofiya) ini, saya mewakili kerajaan negeri sedih dan pilu serta meminta supaya orang ramai dapat memberikan ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut serta tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi keluarga arwah Irene Sofiya di Kampung Parit Selamat di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata dalam masa terdekat, satu perbincangan akan dilaksanakan di antara Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat.
Beliau berkata perbincangan itu akan melihat secara terperinci kejadian yang berlaku dan antara perkara yang perlu diperbaiki adalah aspek keselamatan di dalam kawasan sekolah.
“Mungkin esok saya akan panggil semua (termasuk pegawai JPNJ) dan PPD untuk kami duduk balik… lihat semula SOP, mana ada kelemahan dan kekurangan akan cuba diatasi. Ini bukan satu perkara yang main-main sebab ia melibatkan kehilangan nyawa,” katanya.
Pada Sabtu lepas, pelajar tingkatan empat itu ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dewan sekolah terbabit kira-kira 5.50 petang.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata mangsa mengalami beberapa kecederaan pada bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Polis kemudian menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di sekitar Yong Peng kira-kira 7 malam pada hari sama sebelum memperoleh perintah reman selama enam hari hingga 9 Okt bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA