LONDON, 4 Okt (Bernama-Anadolu) -- Parti United List pimpinan Perdana Menteri Latvia Andris Kulbergs berada di landasan tepat untuk memenangi pilihan raya umum negara itu, menurut tinjauan selepas mengundi pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi yang memetik penyiaran tempatan.
Tinjauan selepas mengundi yang diterbitkan penyiar awam LSM meramalkan United List yang berhaluan tengah mencatat prestasi kukuh dengan meraih sokongan lebih 35 peratus, mengatasi gabungan sokongan bagi tiga parti berikutnya.
"Ini menunjukkan rakyat mahukan perubahan, rakyat mahukan keterusterangan," kata Kulbergs.
Latvia First dijangka menduduki tempat kedua dengan sokongan 11.3 peratus, mendahului tipis Social Democrats' Progressives yang memperoleh 11.1 peratus.
Pakatan populis Sovereign Power/Young Latvians dijangka menduduki tempat keempat dengan 10.8 peratus, manakala National Alliance yang berhaluan nasionalis di tempat kelima dengan 8.7 peratus.
Rakyat Latvia keluar mengundi pada Sabtu untuk memilih 100 ahli Parlimen menerusi sistem perwakilan berkadar berasaskan senarai parti.
Parlimen Latvia yang mempunyai 100 anggota dan dikenali sebagai Saeima dipilih setiap empat tahun.
Pada pilihan raya sebelum ini yang diadakan pada 1 Okt 2022, New Unity pimpinan Krisjanis Karins memenangi 16 kerusi dan membentuk kerajaan pakatan bersama United List dan National Alliance.
Kira-kira 804,000 orang mengundi dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 51.63 peratus.
-- BERNAMA-ANADOLU