LAHAD DATU, 4 Okt (Bernama) -- Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Jimmy Panyau meninggal dunia malam tadi di Kuching Life Care Society, Sarawak, selepas mengalami masalah kesihatan berkaitan hati dan saluran hempedu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dzulbaharin Ismail ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata Jimmy, 53, menghembuskan nafas terakhir pada 9.30 malam.
"Mendiang merupakan seorang pegawai yang berdedikasi sepanjang menjalankan tugas di Lahad Datu," katanya.
Beliau berkata mendiang yang berketurunan Iban mendapatkan rawatan di Borneo Medical Centre, Kuching pada 14 Ogos berkaitan masalah kesihatan dihadapinya dan dimasukkan ke wad untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut sebelum dibenarkan pulang sehari kemudian dan diberikan cuti sakit hingga 23 Ogos.
"Pada 20 Ogos, mendiang mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak sebelum dimasukkan ke Wad Pembedahan Lelaki bagi pemantauan dan rawatan selanjutnya,” katanya.
Jimmy sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Daerah Mukah, Sarawak.
-- BERNAMA