Ekonomi 01/10/2026 02:55 PM

Malaysia, Singapura Teroka Usaha Menarik Pelaburan Dalam JS-SEZ

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia, Singapura Teroka Usaha Menarik Pelaburan Dalam JS-SEZ

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Singapura sedang meneroka kaedah untuk menarik pelabur dari negara ketiga ke Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), sekali gus memperkukuh zon itu sebagai hab pelaburan dan eksport serantau.

Timbalan Perdana Menteri Singapura Gan Kim Yong berkata kerjasama itu akan diperluas melangkaui hubungan antara Johor dan Singapura, termasuk usaha untuk menarik pelabur dari negara lain serta memudah cara eksport ke pasaran lain.

“Ini merupakan kerjasama dua hala yang amat penting antara kedua-dua negara kita, serta antara Johor dan Singapura. Sememangnya, kita sedang mencari kaedah tambahan untuk memperkukuh kerjasama Johor-Singapura.

“Diharapkan lebih banyak perincian akan diumumkan dari semasa ke semasa mengenai bagaimana kita dapat terus menyokong satu sama lain pada tahun-tahun akan datang,” katanya dalam ucaptama pada majlis jamuan tengah hari bersama Majlis Perniagaan Malaysia-Singapura sempena lawatan kerja sehari beliau di sini.

Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, berkata Singapura yang akan mengambil alih Kepengerusian ASEAN tahun depan berharap dapat melaksanakan beberapa siri projek susulan pelaksanaan Perjanjian Kerangka Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).

Beliau berkata perjanjian itu akan membuka jalan kepada kerjasama digital yang lebih erat antara negara anggota ASEAN.

“Pada mesyuarat ASEAN baru-baru ini di Manila, kami turut memuktamadkan rundingan mengenai perjanjian ekonomi digital itu.”

“Ini merupakan sesuatu yang saya tahu amat dinantikan oleh semua pihak dalam sektor perniagaan, dan kami tidak sabar untuk memastikan perjanjian ini akhirnya ditandatangani tahun ini dan berkuat kuasa tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata syarikat-syarikat Singapura telah memberi komitmen pelaburan lebih S$5.5 bilion (S$1=RM3.19) dalam JS-SEZ, sekali gus mewujudkan ribuan pekerjaan berkemahiran tinggi.

Beliau berkata pelaburan itu merangkumi sektor pembuatan termaju, pusat data, teknologi tenaga dan tenaga solar, sambil menambah bahawa JS-SEZ telah berkembang daripada konsep strategik kepada hab ekonomi swasta yang aktif.

-- BERNAMA