DOHA, 1 Okt (Bernama-CMG) -- Mesyuarat Tahunan Lembaga Pengarah Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) ke-11 diadakan di sini pada 28 hingga 29 Sept.
Bertemakan “Infrastruktur Masa Depan: Impak dan Inovasi", mesyuarat tahun ini disertai wakil-wakil dari seluruh dunia untuk membincangkan pembangunan lestari dan kerjasama pelbagai hala.
Presiden AIIB Zou Jiayi ketika berucap pada mesyuarat itu menghuraikan keutamaan bank berkenaan untuk fasa pembangunan seterusnya, di samping menegaskan bahawa infrastruktur kekal memainkan peranan penting dalam pembangunan, daya tahan dan peluang di tengah-tengah ketidaktentuan global.
"Sasaran AIIB bagi fasa seterusnya adalah untuk memperluas impak pembangunan menerusi inovasi dan integriti.
"Mari kita bersama-sama membina keyakinan, hubungan dan infrastruktur untuk masa depan," kata beliau.
Menurut statistik, AIIB telah meluluskan 57 projek pada tahun lepas, melibatkan pembiayaan mencecah US$10.6 bilion. Daripada jumlah pembiayaan itu, 71 peratus berkait secara langsung
dengan isu iklim, jauh melebihi sasaran yang ditetapkan oleh bank itu.
AIIB ditubuhkan pada 2016 dengan 57 anggota pengasas dan kini mempunyai 111 anggota di seluruh dunia.
Dalam tempoh sedekad lalu, AIIB meluluskan pembiayaan kumulatif lebih US$79 bilion bagi lebih 400 projek.
-- BERNAMA-CMG