Am 30/09/2026 09:03 PM

MLFF Tidak Akan Dilaksanakan Secara Tergesa-gesa - Nanta

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MLFF Tidak Akan Dilaksanakan Secara Tergesa-gesa - Nanta
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tiga, kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada penaja platinum, Touch "n Go Sdn Bhd, yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Praba Sangarajoo (dua, kanan), pada Perasmian My ASEAN Roads and Traffic Tech Expo (MyARTTE) 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. Turut kelihatan, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan (dua, kiri). - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Pelaksanaan sistem kutipan tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) tidak akan dibuat secara tergesa-gesa dengan lebih banyak masa diberikan kepada pihak terlibat untuk memuktamadkan perinciannya, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata pihak yang terlibat telah diberikan garis masa untuk merangka aturan yang berkaitan, dengan beberapa platform sudah pun dipertimbangkan walaupun perinciannya masih dalam peringkat rundingan.

“Kami telah memberikan garis masa kepada mereka. Mereka hanya memerlukan sedikit masa lagi dan terdapat platform yang telah mereka fikirkan.

“Saya tidak mahu mendedahkannya buat masa ini kerana ia masih dalam rundingan,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Ekspo Teknologi Jalan dan Trafik MyAsean (MYARTTE) 2026 di sini hari ini.

Nanta berkata pelaksanaan itu akan mengikut model perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dengan syarikat konsesi lebuh raya dan pihak yang berminat bekerjasama untuk membangunkan sistem tersebut.

Beliau berkata pendekatan itu akan membolehkan pihak yang berminat berunding sesama mereka, terutamanya syarikat konsesi lebuh raya yang memiliki lebuh raya serta aset berkaitan.

“Kami tidak melakukan perkara ini secara tergesa-gesa dan masa yang ada digunakan untuk memastikan pihak-pihak yang mahu bekerjasama memandangkan kami membenarkan model B2B,” katanya.

Beliau berkata persatuan lebuh raya juga memainkan peranan penting dalam memudah cara rundingan antara syarikat konsesi dengan pihak yang berminat untuk melabur dalam sistem itu.

Mengenai penyepaduan pembayaran di lebuh raya yang berbeza, Nanta berkata ujian rintis sistem JustGo sedang dijalankan di lebuh raya terpilih termasuk yang dikendalikan oleh PLUS Malaysia Bhd.

“Sistem JustGo yang digunakan ketika ini berfungsi sebagai pengenalan atau projek rintis. Di bawah kerangka B2B, pihak yang mengambil bahagian akan menilai sama ada platform JustGo atau platform alternatif boleh diguna pakai secara kolaboratif di seluruh rangkaian,” katanya.

-- BERNAMA