Am 30/09/2026 06:54 PM

Harga RON97 Dan RON95 Tanpa Subsidi Turun 5 Sen, Diesel Turun 15 Sen Mulai Esok

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Harga RON97 Dan RON95 Tanpa Subsidi Turun 5 Sen, Diesel Turun 15 Sen Mulai Esok
-- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing turun 5 sen seliter manakala diesel tanpa subsidi turun 15 sen seliter bagi tempoh 1 hingga 7 Okt ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga baharu RON97 ditetapkan pada RM5 seliter manakala RON95 tanpa subsidi RM4.52 dan diesel tanpa subsidi RM5.27 seliter.

Kenyataan itu memaklumkan penurunan tersebut didorong oleh penyederhanaan purata harga minyak mentah dunia dalam tempoh pengiraan Mekanisme Harga Automatik (APM) susulan penyambungan semula operasi saluran paip Timur-Barat Arab Saudi. 

“Pada masa sama, bekalan produk petroleum bertapis di Asia menunjukkan tanda pemulihan dengan eksport produk petroleum bertapis China pada September dianggarkan melebihi empat juta tan berbanding purata sekitar tiga juta tan sebulan pada tahun lepas.

“Peningkatan bekalan ini membantu mengurangkan sebahagian tekanan terhadap harga produk petroleum serantau,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, MOF memaklumkan pemulihan bekalan global masih tidak sekata apabila sebuah lagi loji penapisan utama Rusia di Perm terpaksa menghentikan operasi selepas serangan dron Ukraine minggu lepas sekali gus mengehadkan bekalan diesel dari negara berkenaan ke pasaran antarabangsa.

Susulan itu, ketidaktentuan harga produk petroleum dijangka berterusan selagi konflik antara Amerika Syarikat dan Iran belum selesai.

“Sebarang serangan baharu di Asia Barat berisiko memberi tekanan semula kepada harga minyak dan produk petroleum.

“Selain itu, pemulihan kapasiti penapisan global kekal penting bagi mengurangkan tekanan harga dalam jangka sederhana,” menurut kenyataan itu.

MOF turut memaklumkan Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global termasuk mengekalkan subsidi bersasar menerusi BUDI MADANI, BUDI Diesel, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) serta Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Pada harga semasa, penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) membayar RM1.99 seliter berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.52 seliter, dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.53 seliter bersamaan 56 peratus daripada harga tanpa subsidi.

“Penerima BUDI Diesel pula akan terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM5.27 seliter, dengan subsidi kerajaan sebanyak RM3.17 seliter atau 60 peratus daripada harga tanpa subsidi,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA