KOTA TINGGI, 30 Sept (Bernama) -- Polis menahan lima individu termasuk seorang warga asing kerana disyaki cuba memajak seutas gelang emas dipercayai palsu seberat 23 gram di sebuah premis pajakan di Sungai Rengit di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Yusof Othman berkata pihaknya menerima laporan daripada pengurus premis itu pada 1.58 tengah hari semalam.
“Lima suspek terdiri daripada tiga lelaki dan masing-masing seorang wanita tempatan serta warga asing berusia 34 hingga 62 tahun ditahan di sekitar Sungai Rengit dari kira-kira 1 tengah hari hingga 3 petang tadi.
“Pemeriksaan mendapati gelang emas itu adalah palsu. Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusof berkata seorang daripada suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes penjualan emas palsu di Alor Setar, Kedah manakala dua lagi mempunyai rekod berkaitan kesalahan narkotik.
Kesemua suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini dengan perintah reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Pengerang.
Beliau berkata penahanan lima suspek itu dapat membantu siasat beberapa kes pemajakan atau penjualan emas palsu di sekitar daerah ini.
-- BERNAMA