Am 30/09/2026 05:45 PM

Nepal Setuju Bantu Percepat Proses Pengesahan Status 55 Rakyat Malaysia - Fahmi 

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Nepal Setuju Bantu Percepat Proses Pengesahan Status 55 Rakyat Malaysia - Fahmi 
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Fahmi Fadzil pada sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA, 30 Sept (Bernama) -- Kerajaan Nepal bersetuju membantu mempercepat proses pengesahan status 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan susulan bencana banjir di negara itu, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata persetujuan itu dimaklumkan Perdana Menteri Nepal Balendra Shah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbualan kedua-dua pemimpin semalam.

“Perdana Menteri memaklumkan dalam perbualan itu, Perdana Menteri Nepal telah memaklumkan persetujuan untuk membantu mempercepat proses pengesahan status 55 rakyat Malaysia yang masih tidak dapat dikesan akibat bencana yang berlaku di Nepal," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Susulan itu, Fahmi berkata Perdana Menteri telah mengarahkan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar untuk mengadakan perbincangan lanjut pada kadar segera bersama dengan pihak berkuasa Nepal.

Beliau berkata ia susulan perbincangan berkenaan meliputi aspek perundangan dan bidang kuasa mahkamah.

Tragedi banjir dan limpahan puing pada 26 Ogos lepas yang dicetuskan oleh runtuhan ais dan batu di kawasan tadahan hulu Lhende Khola di Tibet setakat ini telah mengorbankan 1,451 nyawa.

Kira-kira 5,700 orang termasuk lebih 600 warga asing masih hilang.

-- BERNAMA