Oleh Noorazlina Jindeh
KOTA KINABALU, 30 Sept (Bernama) -- Bermula sekadar ‘saja-saja’ mengikuti abang dan kakaknya berlatih karate, siapa sangka penglibatan sejak berusia tujuh tahun membawa Adeola Fay Robert ke podium tertinggi Asia dan menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Atlet berusia 20 tahun dari Tambunan, sebuah daerah di pedalaman Sabah kira-kira 75 kilometer dari Kota Kinabalu, berkata beliau mula serius menceburi sukan karate apabila mula menyertai kejohanan ketika berusia lapan tahun dan muncul juara.
“Mula-mula saya hanya ikut abang dan kakak, saja-saja ikut latihan karate, tetapi apabila menyertai pertandingan peringkat negeri pada usia lapan tahun, saya menang sehinggalah terpilih ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dan meraih pingat perak.
“Daripada situ jurulatih kebangsaan nampak dan minta saya ke sesi pemilihan untuk masuk dalam pasukan kebangsaan, dan apabila diterima, di situlah saya nampak ada peluang cerah untuk pergi jauh lagi dalam sukan karate,” katanya kepada Bernama.
Pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya baru-baru ini, Adeola Fay berjaya menewaskan wakil Iran Fatemehzahra Saeidabadi 6-4 pada aksi final acara kumite bawah 55 kilogram, sekali gus melakar kejayaan manis dalam penampilan sulungnya di temasya empat tahun sekali itu.
Adeola Fay berkata beliau pernah mewakili pasukan bola jaring Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) pada 2022 serta sukan olahraga, sebelum memberi tumpuan sepenuhnya kepada karate.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu pernah memenangi pingat gangsa dalam Kejohanan Karate Asia Tenggara (SEAKF) bawah 21 tahun (B21) tahun lepas, selain pingat emas SUKMA 2024 dan emas B21 SEAKF 2026.
Menurutnya, sebagai atlet sepenuh masa di Majlis Sukan Negara (MSN), beliau menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan sambil meneruskan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas Cheras, Kuala Lumpur.
Beliau berkata rutin hariannya bermula seawal 6.30 pagi sebelum menyambung pengajian dari 9 pagi hingga 4 petang dan kembali menjalani latihan pada sebelah petang.
“Untuk Sukan Asia ini, saya menjalani latihan berpusat yang padat selama enam minggu dari Isnin hingga Sabtu, merangkumi latihan di gimnasium, program kecergasan dan pemulihan,” katanya.
Adeola Fay berkata di sebalik kejayaan diraih, beliau mengakui perjalanan sebagai atlet kebangsaan tidak mudah kerana menuntut pengorbanan besar, terutama apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga di Sabah.
Beliau berkata pengorbanan membagi masa antara pengajian dan latihan ternyata berbaloi apabila berjaya meraih kejayaan di pentas antarabangsa.
Menurutnya, setiap kejohanan memberikan pengalaman berbeza yang membantu membentuk kematangan diri, khususnya dalam mengawal emosi ketika berdepan tekanan pertandingan.
“Kejayaan meraih pingat emas ini bukan bermaksud perjalanan saya sudah selesai kerana masih banyak perlu dipelajari dan diperbaiki untuk mengekalkan momentum kejayaan pada masa akan datang.
“Saya berharap bukan sahaja berjaya sebagai seorang atlet tetapi juga dalam kerjaya, serta dapat menggunakan pengalaman ini untuk memberi inspirasi kepada generasi muda,” katanya.
-- BERNAMA