Ekonomi 30/09/2026 02:46 PM

Persidangan JC3 Journey To Zero Perkukuh Peranan Sektor Kewangan Dalam Memacu Pertumbuhan Malaysia - BNM

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Persidangan JC3 Journey To Zero Perkukuh Peranan Sektor Kewangan Dalam Memacu Pertumbuhan Malaysia - BNM
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Persidangan Jawatankuasa Bersama mengenai Perubahan Iklim (JC3) Journey to Zero 2026 memperkukuh peranan penting industri kewangan dalam memacu agenda pertumbuhan Malaysia yang mampan dan berdaya tahan, menurut Bank Negara Malaysia (BNM). 

Persidangan itu mengukuhkan komitmen JC3 untuk menterjemahkan aspirasi berkaitan iklim dan alam semula jadi kepada hasil yang nyata, termasuk memangkin penyaluran modal, memperkukuh keupayaan pasaran serta menyokong daya tahan dalam sektor kewangan dan ekonomi secara keseluruhannya.

“Perubahan iklim merupakan realiti semasa, bukan risiko pada masa depan. Kita perlu komited untuk menggerakkan modal, menyokong inovasi secara aktif, bekerjasama dan membangunkan penyelesaian secara bersama untuk mempercepat usaha peralihan.

“Kita perlu membiayai usaha memperkukuh daya tahan sebelum berlaku banjir besar, El Niño yang luar biasa atau kejadian tanah runtuh.

“Oleh itu, institusi kewangan perlu membina kapasiti dan meningkatkan pemahaman mengenai risiko berkaitan alam semula jadi untuk memastikan pertimbangan yang relevan dapat diterapkan dalam pengurusan risiko dan keputusan perniagaan,” kata Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dalam kenyataan di sini. 

Persidangan selama dua hari yang berakhir pada Selasa itu bertemakan, Membina Daya Tahan Iklim dan Alam Semula Jadi untuk Rakyat dan Perniagaan, menumpukan kepada usaha memperkukuh daya tahan terhadap iklim dan alam semula jadi melalui projek yang berdaya maju untuk pelaburan dan penyelesaian pembiayaan inovatif yang menjana hasil kepada perniagaan dan rakyat.

Persidangan yang menghimpunkan lebih 800 peserta daripada sektor kewangan, kerajaan, dunia perniagaan, pelabur dan ahli akademik ini membincangkan mengenai pertumbuhan mampan, pembiayaan peralihan tenaga, penyesuaian iklim, risiko dan peluang berkaitan alam semula jadi, pasaran karbon dan kebolehlaksanaan projek dari segi pembiayaan.

Pada persidangan itu, peserta mengkaji pendekatan praktikal untuk memperkukuh kesiapsiagaan projek, menggerakkan pembiayaan dan memperluas usaha pelaksanaan.

Ia turut menampilkan beberapa sesi yang dikendalikan oleh pakar bidang berkaitan mengenai keperluan pendedahan, pembiayaan berkaitan alam semula jadi dan penyesuaian bagi menterjemahkan teori kepada amalan.

Beberapa inisiatif telah diperkenalkan pada acara itu termasuk pengumuman penubuhan Persatuan Profesional Kemampanan (ASP), inisiatif industri yang dibangunkan dan disokong oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Selaras dengan matlamat Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 SC, ASP yang dijangka dilancarkan pada akhir 2026 bertujuan mengiktiraf dan memberi akreditasi kepada kecekapan kelestarian, selain meningkatkan piawaian dan keupayaan golongan profesional dalam bidang kelestarian, menurut BNM.

Selain itu, JC3 dan sektor kewangan sedang memperkukuh kerjasama dengan enam universiti di Malaysia, iaitu Monash University, Sunway University, Universiti Malaya, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Tenaga Nasional. 

“Program Kerjasama JC3-Universiti bertujuan memperkukuh keupayaan sektor kewangan dalam menangani cabaran berkaitan iklim dan alam semula jadi menerusi penyelidikan gunaan, pembangunan bakat dan penyelesaian praktikal,” menurutnya.

JC3 akan terus memperkukuh rangkaian projek berkaitan iklim dan alam semula jadi melalui Makmal Inovasi Kewangan Iklim, platform yang membantu memacu projek berkaitan iklim dan alam semula jadi mendapat akses pembiayaan.

-- BERNAMA