KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Lebih 8,000 peluang pekerjaan ditawarkan 200 majikan kepada lepasan pengajian tinggi dan pencari kerja menerusi National Graduate Career Fair 2026 yang akan berlangsung pada 3 dan 4 Okt ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam kenyataan hari ini memaklumkan karnival itu turut menyediakan peluang untuk meneroka bidang kerjaya yang bersesuaian serta mendapatkan panduan bagi meningkatkan kebolehpasaran lepasan pengajian tinggi dan pencari kerja.
“Peluang pekerjaan yang ditawarkan merangkumi pelbagai sektor dan tahap kemahiran, termasuk bidang maklumat dan komunikasi, kewangan, pembuatan, aktiviti profesional, saintifik dan teknikal, pengangkutan dan penyimpanan serta kesihatan dan kerja sosial.
“Lebih menarik, lebih separuh atau 52.91 peratus daripada keseluruhan kekosongan yang ditawarkan menyediakan gaji melebihi RM3,000 sebulan, termasuk jawatan eksekutif akaun dengan gaji bermula sekitar RM3,000, manakala tawaran bagi jawatan tertentu seperti pengurus teknologi maklumat (IT) mencecah sehingga RM17,000 sebulan,” menurut kenyataan itu.
Antara majikan utama yang mengambil bahagian ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bank Negara Malaysia (BNM), Bursa Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).
Selain itu, Malaysia Airports Holdings Bhd, Prasarana Malaysia Bhd dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) turut menawarkan pekerjaan kepada pengunjung.
PERKESO memaklumkan karnival yang dibuka dari 9 pagi hingga 4.30 petang itu bukan hanya menyediakan peluang untuk mendapatkan pekerjaan pertama, malah juga membantu mereka meneroka peluang kerjaya dengan potensi pendapatan dan perkembangan kerjaya lebih baik.
Menerusi konsep walk-through career experience, lepasan pengajian tinggi dan pencari kerja berpeluang bergerak dari satu majikan ke satu majikan bagi mengenal pasti kekosongan yang bersesuaian dengan kelayakan mereka serta berinteraksi secara langsung dengan wakil industri.
Selain peluang pekerjaan, pengunjung juga boleh mendapatkan semakan resume profesional dan khidmat kaunseling kerjaya bagi membantu mereka mengenal pasti kelebihan masing-masing, memperkemas strategi pencarian kerja serta membuat persediaan sebelum berhadapan dengan majikan.
”Pendekatan ini menjadikan program ini sebagai satu platform yang menghubungkan secara lebih langsung antara bakat yang sedang mencari peluang dengan keperluan sebenar industri, sekali gus membantu mengurangkan jurang antara kelayakan dan permintaan pasaran pekerjaan,” menurutnya.
Lepasa pengajian tinggi dan pencari kerja yang berminat boleh membuat pendaftaran dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai karnival itu menerusi portal MYFutureJobs di www.myfuturejobs.gov.my/careerfair.
-- BERNAMA