KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada skuad sepak takraw lelaki negara selepas berjaya meraih pingat perak dalam acara regu lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.
Menerusi hantaran di platform X hari ini, beliau memuji semangat juang tinggi yang dipamerkan wira-wira negara sehingga penghujung perlawanan di Gimnasium Taman Mizuho, Bandar Nagoya.
"Keputusan hari ini tidak memadam segala kerja keras, disiplin dan semangat juang yang telah kalian tunjukkan sepanjang kejohanan ini.
"Teruskanlah melangkah dengan penuh keyakinan kerana setiap keringat yang dicurahkan itu tetap mengharumkan nama negara. Syabas wira-wira negara!" katanya dalam hantaran itu.
Terdahulu, hasrat skuad sepak takraw negara untuk melengkapkan kejayaan emas berganda pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 tidak kesampaian, selepas tewas 0-2 kepada juara bertahan Thailand pada aksi final acara regu tersebut.
Sebelum ini, skuad negara melakar kejayaan meraih pingat emas dalam acara regu berpasukan lelaki pada temasya itu.
-- BERNAMA