Ekonomi 29/09/2026 06:46 PM

Untung Bersih Gamuda Bagi Tahun Kewangan 2026 Melonjak Kepada RM1.05 Bilion

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Untung Bersih Gamuda Bagi Tahun Kewangan 2026 Melonjak Kepada RM1.05 Bilion
Kredit: Gamuda Berhad

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Keuntungan bersih Gamuda Bhd meningkat sebanyak lima peratus kepada RM1.052 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai, 2026 sekali gus mencatatkan rekod prestasi kewangan tertinggi bagi tahun kelima berturut-turut.

Perolehannya juga berkembang sebanyak 14 peratus kepada paras tertinggi pernah dicatatkan iaitu RM18.6 bilion, didorong oleh prestasi sektor pembinaan yang lebih kukuh manakala nilai perolehan kontrak pembinaannya mencecah rekod tertinggi RM61 bilion.

“Segmen pembinaan kekal sebagai pemacu utama pendapatan dengan pendapatan daripada aktiviti pembinaan domestik melonjak 49 peratus kepada RM461 juta, dipacu sebahagian besarnya oleh segmen pusat data.

“Termasuk projek di luar negara, pendapatan keseluruhan daripada aktiviti pembinaan meningkat 19 peratus kepada RM742 juta,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi prestasi suku keempat yang berakhir pada 31 Julai, 2026, keuntungan bersih Gamuda meningkat lima peratus kepada RM350 juta manakala perolehannya meningkat 19 peratus kepada RM5.8 bilion.

Bagaimanapun, menurut Gamuda, bahagian hartanah mencatatkan prestasi yang lebih perlahan dengan perolehan dan keuntungan bersih suku tahunan masing-masing merosot 14 peratus dan 41 peratus berikutan kadar penukaran jualan yang lebih rendah di perbandaran kendaliannya di Malaysia.

Tahap kadar hutang bersih berada pada kadar 72 peratus pada akhir Julai 2026, melebihi sedikit daripada had maksimum 70 peratus yang ditetapkan kumpulan itu sendiri susulan pembelian tanah di Vietnam dan Singapura bagi menambah portfolio projeknya yang dapat disiapkan dan dipasarkan dalam tempoh singkat.

Walaupun begitu, kumpulan tersebut terus menjana aliran tunai operasi yang kukuh dengan merekodkan lebihan tunai hampir RM800 juta sepanjang tahun berkenaan.

“Gamuda menjangkakan tahap kadar hutang akan sederhana mulai tahun depan disokong oleh aliran masuk tunai daripada nilai perolehan kontrak pembinaan yang mencatat rekod tertinggi serta jualan hartanah yang belum dibilkan berjumlah RM7.6 bilion,” jelasnya.

Kumpulan itu turut menyatakan bahawa projek Eaton Park milik syarikat di Vietnam hampir habis dijual.

Di bawah peraturan negara berkenaan, pemaju boleh mengutip sehingga 50 peratus daripada nilai jualan semasa fasa pembinaan manakala baki selebihnya diterima selepas projek siap sepenuhnya.

-- BERNAMA