Am 29/09/2026 05:52 PM

LTdL 2026: Izzat Hilmi Berani Ambil Risiko, Kelima Terbaik Peringkat 3 Di Kuala Kangsar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
LTdL 2026: Izzat Hilmi Berani Ambil Risiko, Kelima Terbaik Peringkat 3 Di Kuala Kangsar
Pelumba pecut XDS Astana Team Matteo Malucelli (kanan) meraikan kemenangan selepas menjuarai perlumbaan peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) Malaysia 2026 dari Sungai Petani ke Kuala Kangsar, Perak hari ini. Perlumbaan sejauh 189.7 kilometer itu berakhir di Dataran Pavilion Kuala Kangsar. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA KANGSAR, 29 Sept (Bernama) -- Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC) Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil berani mengambil risiko mencelah kelompok pakar pecut bertaraf dunia untuk menamatkan saingan di tempat kelima pada Peringkat 3 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026, hari ini.

Catatan 4 jam 31 minit 59 saat (s) bagi laluan sejauh 189.7 kilometer (km) dari Sungai Petani ke Kuala Kangsar itu turut menyaksikan Izzat Hilmi muncul Pelumba Terbaik Asia dan Pelumba Terbaik Malaysia bagi peringkat berkenaan.

"Banyak cabaran bagi saya untuk masuk zon pecutan tadi dan bukan mudah kerana ia menuntut keberanian serta bergantung kepada faktor nasib untuk melihat ruang yang ada. Kalau kita redah juga, antara jatuh atau selamat dan kita perlu ambil risiko," katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Izzat Hilmi yang bersaing sengit dalam penamat beramai-ramai (bunch sprint) di belakang juara peringkat Matteo Malucelli (XDS Astana Team), Riley Pickrell (Modern Adventure Pro Cycling), Seppe Van den Boer (Tudor Pro Cycling Team) dan Ronan Auge (Unibet Rose Rockets), mengakui ketiadaan pelumba penarik (pacer) di kelompok hadapan mengehadkan peluangnya menaiki podium.

"Paling penting sebenarnya kita perlu ada pacer seperti pasukan Astana yang mempunyai barisan penarik di depan. Pasukan saya kekurangan dari aspek itu tetapi saya faham rakan sepasukan berbadan kecil, jadi sukar untuk menyaingi fizikal pelumba luar yang berbadan besar," katanya.

Prestasi Izzat Hilmi bersama rakan sepasukan turut membantu MPC menduduki tempat kedua dalam klasifikasi Pasukan Terbaik Asia bagi Peringkat 3 dengan catatan masa terkumpul 13:35:57s.

Dengan cabaran laluan berbukit di Cameron Highlands dan Genting Highlands menanti selepas ini, beliau merancang menyimpan tenaga serta cuba bertahan pada zon pendakian awal sebelum kembali memburu peluang menaiki podium.

"Sasaran saya pada Peringkat 6 adalah cuba bertahan seperti hari ini walaupun ada pendakian awal dan jika berakhir dengan penamat beramai-ramai, mungkin ada peluang podium. Jika tidak, saya akan fokus Peringkat 7 menuju ke kampung halaman saya di Batu Pahat," katanya.

Secara keseluruhan, MPC kini berada di tempat ketiga dalam klasifikasi Pasukan Terbaik Asia dengan catatan masa 37:17:42s.

LTdL 2026 bersambung esok menerusi Peringkat 4 dari Meru Raya ke Cameron Highlands sejauh 142.3km, dengan tiga zon pecutan di Gopeng, Kampar dan Tapah sebelum pelumba berdepan pendakian mencabar berstatus Hors di Tanah Rata.

-- BERNAMA