Am 29/09/2026 01:29 PM

Konstabel Mengaku Tidak Bersalah Cuba Curi Beg Galas Rakan Sekerja

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Konstabel Mengaku Tidak Bersalah Cuba Curi Beg Galas Rakan Sekerja

YAN, 29 Sept (Bernama) -- Seorang anggota polis berpangkat konstabel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan cuba mencuri beg galas milik rakan sekerjanya, awal bulan ini.

Ahmad Fahmi Ahmad Hasbullah, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Lelaki itu didakwa cuba mencuri sebuah beg galas yang mengandungi dompet, kunci dan jaket milik mangsa berusia 32 tahun di Kaunter Aduan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Yan, di sini pada 7.20 malam, 2 Sept.

Ahmad Fahmi didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara sehingga sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Nurhazirah Tuan Yahya menawarkan jaminan RM6,000 kepada tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Nurul Nur Hidayah Roslin yang mewakili lelaki itu memohon kadar jaminan minimum, dengan alasan tertuduh memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan.

Beliau berkata Ahmad Fahmi yang bergaji kira-kira RM3,000 menanggung dua anak berusia dua dan tiga tahun, manakala isterinya tidak bekerja.

Majistret Anis Suraya Ahmad menetapkan jaminan  RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Okt depan untuk sebutan semula kes.

– BERNAMA