Am 29/09/2026 01:28 PM

Belanjawan 2027: APM Harap Tumpuan Diberikan Kepada Perolehan Aset, Kebajikan Anggota

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Belanjawan 2027: APM Harap Tumpuan Diberikan Kepada Perolehan Aset, Kebajikan Anggota
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Ghazali Abd Rahman (duduk,tengah) bergambar bersama anggota APM pada Majlis Perhimpunan Setia dan Sambutan Ulangtahun Pertahanan Awam Selangor 2026 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

SHAH ALAM, 29 Sept (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berharap Belanjawan 2027 akan memfokuskan kepada perolehan aset baharu serta aspek kebajikan pegawai dan anggota di bawah agensi berkenaan. 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM Ghazali Abd Rahman berkata ia bagi memastikan APM kekal bersedia dalam mendepani sebarang cabaran dalam menyampaikan khidmat kepada masyarakat, khususnya ketika kejadian bencana. 

Beliau berkata antara aset yang perlu menjadi keutamaan ialah kenderaan pacuan empat roda serta lori yang merupakan antara aset terpenting dalam pengoperasian bencana banjir, di samping pemantapan aset canggih lain. 

“Dari segi kita punya kekuatan, kebanyakannya melibatkan anggota sukarelawan dan saya rasa baru-baru ini pun dalam media ada pernah diutarakan berkenaan isu berkaitan dengan kenaikan kadar elaun untuk pegawai dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). 

“Jadi saya rasa mungkin perkara ini pun mungkin boleh dipanjangkan kepada pegawai-pegawai dan anggota sukarelawan bukan saja di APM tapi mungkin juga di agensi lain  yang mempunyai pasukan sukarelawan mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Setia dan Sambutan Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) APM Selangor 2026 di sini, hari ini. 

Pada majlis itu, Ghazali yang turut menyerahkan Sijil Penubuhan Civil Defense Auxiliary (CDA) APM Selangor ketika berucap berkata ia juga langkah signifikan dalam memperluas jaringan kesiapsiagaan dan keupayaan Pertahanan Awam di negeri berkenaan. 

Beliau berkata dalam menghadapi ancaman bencana yang semakin kompleks, agensi itu tidak boleh hanya bergantung kepada kekuatan anggota tetap dan anggota sukarela, malah memerlukan penglibatan masyarakat dan organisasi tidak kira dari sektor swasta atau kerajaan. 

“CDA boleh menjadi sebahagian daripada rangkaian sokongan yang dapat membantu memperkukuh keupayaan tindak balas pada peringkat komuniti dan organisasi. 

“Saya berharap penubuhan CDA tidak berhenti pada penyerahan sijil sahaja sebaliknya, ia perlu diteruskan dengan perjumpaan, latihan, dan penglibatan dalam aktiviti kesiapsiagaan secara berterusan," katanya. 

-- BERNAMA