KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- KL Wellness City akan menjadi tuan rumah kepada perlumbaan RunFest Grand Prix 2027 dari 26 hingga 28 Mac, menampilkan kategori baharu Soloist 5 kilometer (km) bersama dengan acara lari berganti-ganti pasukan SEKIDEN, yang diadakan semula.
Acara tiga hari itu dirasmikan di Galeri KL Wellness City di Bukit Jalil hari ini, dengan Pengarah Urusan Unikorn Events Sdn Bhd Niklas Yong berkata kategori baharu itu, diperkenalkan susulan permintaan ramai untuk persaingan individu pada penganjuran sulung KL RunFest pada 2025.
“Berdasarkan pengalaman kami semasa KL RunFest di Bukit Jalil pada 2025, terdapat permintaan yang sangat tinggi untuk kategori individu solo, yang kini kami perkenalkan dalam edisi 2027.
“Berbeza dengan kebanyakan perlumbaan 5km yang lazimnya berbentuk larian ria, acara kami merupakan pertandingan yang sangat kompetitif, dengan para pelari mara ke separuh akhir dan akhir berdasarkan catatan masa pusingan terpantas mereka dan bukannya masa penamat keseluruhan,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran tersebut.
Niklas berkata 60 pelari dengan catatan masa pusingan terpantas akan mara ke separuh akhir, manakala 30 peserta terbaik akan meneruskan cabaran ke peringkat akhir.
Acara lari berganti-ganti SEKIDEN akan menampilkan pasukan tiga orang, dengan pusingan kelayakan melibatkan jarak 12km dan pusingan akhir 6km dengan kira-kira 500 pasukan dijangka menyertai acara ini dan 30 pasukan yang mencatatkan masa kelayakan keseluruhan terpantas akan mara ke pusingan akhir.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Penjenamaan, Jualan dan Pemasaran KL Wellness City Datuk Seri Dr Vincent Tiew berkata penganjuran acara itu, sejajar dengan visi bandar tersebut untuk mempromosikan kesihatan, kesejahteraan dan gaya hidup aktif dalam komuniti.
“Kembalinya acara lari berganti-ganti pasukan SEKIDEN membawa elemen kerja berpasukan dan komuniti yang kuat, manakala kategori Soloist 5km yang baharu, memberi peluang kepada orang ramai untuk mencabar diri sendiri dan menyertai perlumbaan mengikut kemampuan serta tahap masing-masing,” katanya.
Vincent berkata acara itu akan memberi peluang kepada para peserta, ahli keluarga dan rakan-rakan untuk merapatkan hubungan menerusi program tiga hari tersebut, yang akan turut menampilkan RunFest Village yang menghidangkan pelbagai pilihan makanan, permainan dan aktiviti.
Kategori Soloist merangkumi bahagian Terbuka lelaki dan wanita untuk pelari berumur 18 hingga 39 tahun, serta bahagian Veteran lelaki dan wanita bagi mereka yang berumur 40 tahun dan ke atas.
Pendaftaran bagi acara yang menawarkan jumlah hadiah keseluruhan sebanyak RM13,500 itu akan dibuka pada 7 Okt, dengan para peserta digalakkan untuk mengikuti saluran rasmi RunFest dan Unikorn Events Sdn Bhd untuk butiran pendaftaran serta perkembangan terkini.
-- BERNAMA
TAG: KL Wellness City, RunFest, kategori Soloist, Perlumbaan Grand Prix, SEKIDEN
MAFZ MHI HIS