Am 29/09/2026 12:35 AM

Pencapaian Skuad Karate Bawa Pulang Dua Emas Hasil Kejayaan Bersama - MAKAF

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pencapaian Skuad Karate Bawa Pulang Dua Emas Hasil Kejayaan Bersama - MAKAF

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) menyifatkan pencapaian atletnya membawa pulang dua emas dan tiga gangsa daripada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun ialah hasil daripada perancangan tersusun, persiapan rapi dan sokongan berterusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Presiden MAKAF Datuk Nur Azmi Ahmad berkata menerusi Program Podium MSN, para atlet mendapat sokongan dan persiapan yang lebih menyeluruh, manakala ISN pula memainkan peranan penting dalam aspek sains sukan, pemakanan, prestasi dan pemulihan atlet.

“Bagi MAKAF, kejayaan ini merupakan hasil ekosistem yang bergerak bersama. Sokongan KBS, persiapan MSN, kepakaran ISN, perancangan MAKAF serta kerja keras para atlet dan jurulatih akhirnya diterjemahkan kepada kejayaan di gelanggang.

“MAKAF turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari atas sokongan dan keprihatinan berterusan terhadap pembangunan sukan serta kebajikan atlet negara,” katanya menerusi kenyataan, malam ini.

Nur Azmi berharap kejayaan pada Sukan Asia kali ini menjadi pencetus kepada lebih banyak pencapaian membanggakan sukan karate negara di pentas antarabangsa.

Pingat emas pertama skuad karate negara pada Sukan Asia 2026 disumbangkan oleh Adeola Fay Robert selepas menewaskan wakil Iran Fatemehzahra Saeidabadi 6-4 dalam final kumite wanita bawah 55 kilogram (kg).

Kejayaan Adeola diteruskan C. Shahmalarani yang menghadiahkan pingat emas acara kumite wanita bawah 50 kg menewaskan wakil Hong Kong Tsang Yee Ting menerusi keputusan juri selepas pertarungan mereka terikat 0-0.

Tiga gangsa pula diraih Mukhriz Mazlan, Mohamad Haznil Henry dan Muhammad Aiqal dalam acara kata lelaki berpasukan diikuti dua lagi daripada acara kumite, iaitu Thevendran Kaliana Sundram (lelaki bawah 55 kg) dan H. Sureeya Sankar (lelaki bawah 60 kg).

Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang bermula pada 19 Sept lepas bakal berakhir 4 Okt ini.

-- BERNAMA