Dunia 20/09/2026 08:26 PM

Mesyuarat Lembaga Eksekutif OANA Ke-58 Bermula Di Moscow, Sempena Ulang Tahun Ke-65

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Mesyuarat Lembaga Eksekutif OANA Ke-58 Bermula Di Moscow, Sempena Ulang Tahun Ke-65
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin (kiri) ketika menghadiri Mesyuarat Lembaga Eksekutif (EBM) dan Jawatankuasa Teknikal Pertubuhan Agensi Berita Asia-Pasifik (OANA) edisi ke-58 di ibu negara Rusia pada Ahad.

Daripada Arul Rajoo Durar Raj

MOSCOW, 20 Sept (Bernama) -- Mesyuarat Lembaga Eksekutif (EBM) dan Jawatankuasa Teknikal Pertubuhan Agensi Berita Asia-Pasifik (OANA) edisi ke-58 bermula di ibu negara Rusia di sini pada Ahad.

Agensi berita kerajaan Rusia TASS, yang kini memegang jawatan presiden OANA, mempengerusikan mesyuarat empat hari itu yang turut bersempena dengan ulang tahun ke-65 pertubuhan berkenaan yang dianggotai 41 agensi berita.

Ketua Pengarah TASS Andrey Kondrashov dalam ucapan pembukaannya berkata pertemuan itu membolehkan agensi berita membincangkan langkah bagi menangani cabaran semasa yang dihadapi mereka.

"Kami melihat masa depan OANA... sejauh mana keberkesanan kami dalam menangani cabaran dan turut menghasilkan idea baharu," katanya.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), yang menganggotai Lembaga Eksekutif, diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.

Pada mesyuarat lembaga itu, Agensi Berita Vietnam (VNA) mengesahkan bahawa agensi berkenaan akan menjadi tuan rumah EBM ke-59.

Pada Isnin, anggota turut menyertai perbincangan bertajuk "Pendekatan Menangani Penyebaran Maklumat Palsu dan Berita Palsu".

Selaras dengan penekanan global semasa terhadap kecerdasan buatan (AI), sesi panel bertajuk "Media dan AI: Metodologi dan Etika dalam Era Digital" turut diadakan pada Isnin.

Perbincangan serta pemeteraian persefahaman antara OANA dan Global Fact Checking Network akan berlangsung pada Isnin.

OANA ditubuhkan pada 1961 atas inisiatif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi memudahkan pertukaran berita secara langsung dan bebas dalam kalangan agensi berita di rantau yang merangkumi lebih separuh penduduk dunia.

OANA kini mempunyai 41 agensi berita anggota dari 35 negara, dengan 13 daripadanya menganggotai Lembaga Eksekutif.

EBM OANA diadakan setiap tahun, dengan mesyuarat terakhir berlangsung di China.

EBM OANA ke-58 menghimpunkan wakil daripada 12 agensi berita antarabangsa, antaranya Agensi Berita Republik Islam (IRNA) dari Iran, Agensi Berita Yonhap (Korea Selatan), TASS (Rusia), Anadolu Ajansi (Turkiye), Xinhua (China), WAM (Emiriah Arab Bersatu), Kyodo News (Jepun), Agensi Berita Qatar, Agensi Berita Vietnam, Montsame (Mongolia), Perusahaan Umum Lembaga Kantor Berita Nasional atau ANTARA (Indonesia) dan Bernama.

-- BERNAMA