Am 20/09/2026 07:43 PM

Jalan Buli Sim-Sim, Laluan Hiking Ditutup Sementara Akibat Tebing Runtuh

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jalan Buli Sim-Sim, Laluan Hiking Ditutup Sementara Akibat Tebing Runtuh
Keadaan tanah runtuh di jalan Sim-Sim ketika tinjauan hari ini. Dalam kejadian kira-kira 9 malam tadi, tanah runtuh sepanjang kira-kira 150 meter itu berlaku jauh dari lokasi perumahan dan tidak mengakibatkan kemalangan.

SANDAKAN, 20 Sept (Bernama) -- Laluan Jalan Buli Sim-Sim dari tokong menghala ke Taman Grandview di sini ditutup sementara mulai hari ini sehingga 26 Sept, akibat runtuhan tebing di kawasan Bukit Sim-Sim kira-kira 150 meter semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sandakan Datuk Walter Kenson berkata perkara itu, sebagai langkah keselamatan kepada orang awam meskipun runtuhan pada 9.05 malam itu tidak mengenai jalan raya.

“Turut ditutup sama ialah laluan hiking di kawasan bukit berkenaan, hasil pemantauan ahli JPBD mendapati kawasan runtuhan masih perlu diberikan perhatian dari aspek keselamatan, khususnya sekiranya berlaku hujan berterusan yang berpotensi menyebabkan pergerakan tanah dan batuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Walter yang juga Presiden Majlis Perbandaran Sandakan berkata Cawangan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR), akan meneruskan pemantauan terhadap keadaan cerun terbabit bagi mengenal pasti sebarang pergerakan atau perubahan pada struktur tanah.

“Sehubungan dengan itu, tempoh penutupan (jalan dan laluan hiking) terlibat, tertakluk kepada hasil penilaian teknikal dan pemantauan pihak JKR sebelum sebarang keputusan lanjut dilaksanakan,” katanya lagi.

Walter berkata orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan maklum mengenai kejadian runtuhan tebing berkenaan.

-- BERNAMA