LOS ANGELES, 20 Sept (Bernama-Xinhua) -- Gabenor California Gavin Newsom pada Sabtu menandatangani pakej 13 rang undang-undang bagi melindungi pilihan raya separuh penggal negeri itu pada November daripada campur tangan, termasuk langkah berkaitan undi pos dan tuntutan mendapatkan data pengundi, lapor Xinhua.
Di Amerika Syarikat (AS), urusan pilihan raya kebanyakannya ditadbir oleh undang-undang negeri, manakala undang-undang persekutuan menetapkan piawaian yang terpakai di seluruh negara.
Antara langkah berkenaan, Rang Undang-Undang Perhimpunan 282 (AB 282) menjadikan tindakan merampas kertas undi, rekod pilihan raya atau teknologi pengundian yang diperakui sebelum keputusan pilihan raya disahkan sebagai kesalahan jenayah berat.
Rang Undang-Undang Senat 259 (SB 259) pula menjadikan tindakan seseorang yang mempunyai kuasa mengarahkan orang lain mengganggu penghantaran atau pemulangan kertas undi melalui pos sebagai kesalahan jenayah berat.
Rang Undang-Undang Perhimpunan 1664 (AB 1664) mewajibkan agensi tempatan dan pegawai pilihan raya memaklumkan segera kepada pihak negeri mengenai tindakan penguatkuasaan undang-undang tertentu yang melibatkan rekod pilihan raya atau teknologi pengundian yang diperakui.
Pakej perundangan itu diperkenalkan ketika California dan pentadbiran Trump berselisih pendirian berhubung dasar pilihan raya persekutuan.
Trump pada Mac mengeluarkan perintah eksekutif yang mengarahkan agensi persekutuan menyediakan kepada negeri senarai individu yang disahkan sebagai warganegara dalam lingkungan umur mengundi, selain mengarahkan Perkhidmatan Pos AS memulakan proses merangka peraturan mengenai piawaian bagi undi melalui pos dan undi tidak hadir.
California bersama beberapa negeri lain mencabar perintah itu di mahkamah persekutuan.
Mahkamah Agung kemudian menolak permohonan berkenaan dan menghalang pentadbiran daripada menguatkuasakan sekatan baharu terhadap undi pos menjelang pilihan raya separuh penggal pada November.
California turut menolak tuntutan kerajaan persekutuan supaya menyerahkan data pendaftaran pengundi di seluruh negeri.
Newsom, Setiausaha Negeri Shirley Weber dan Peguam Negara Rob Bonta berkata pakej itu bertujuan melindungi pentadbiran pilihan raya negeri daripada campur tangan persekutuan.
“Pakej perundangan ini memastikan pengundi California tidak akan disenyapkan atau diugut,” kata Weber dalam satu kenyataan.
Newsom pula berkata rang undang-undang berkenaan memperkukuh perlindungan yang telah diwujudkan California bagi menjaga proses pilihan rayanya.
-- BERNAMA-XINHUA