KOTA BHARU, 19 Sept (Bernama) -- Jabatan Perhutanan Kelantan merampas jentera berat, mesin pemprosesan serta 290 batang kayu hutan pelbagai saiz dan spesies, dengan anggaran nilai keseluruhan RM1.425 juta dalam serbuan di sebuah kilang kayu di Kampung Bukit Kecil, Tanah Merah hari ini.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Ahmad Radzi Hussain berkata serbuan pada 2 petang itu dijalankan pasukan Risik Batalion 8 PGA, Pengkalan Chepa dengan bantuan Jabatan Perhutanan Jajahan Tanah Merah menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan.
Beliau berkata dalam operasi itu, empat lelaki berusia 26 hingga 45 tahun, termasuk seorang kerani kilang, ditahan untuk membantu siasatan.
"Antara rampasan ialah sebuah jentera berat jenis Caterpillar bernilai kira-kira RM800,000, dua mesin Cross Cut (RM70,000), dua mesin Band Saw (RM500,000), 13 mata gergaji (RM26,000) dan 290 batang kayu hutan bernilai kira-kira RM29,000.
"Serbuan dilakukan susulan maklumat mengenai aktiviti pemprosesan kayu di premis berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata ketika serbuan, seorang lelaki dilihat mengendalikan jentera berat membawa muatan kayu ke kawasan mesin Band Saw, manakala tiga lagi lelaki sedang memotong kayu menggunakan mesin berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati kerani kilang berkenaan mempunyai salinan Perakuan Industri Berasas Kayu yang sah hingga 31 Dis 2026, namun gagal mengemukakan permit pemindahan kayu daripada Jabatan Perhutanan.
“Susulan itu, pihak Jabatan Perhutanan Jajahan Tanah Merah dipanggil ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan lanjut,” katanya.
Ahmad Radzi berkata pemeriksaan Jabatan Perhutanan mendapati kayu yang terdapat di kawasan kilang dipercayai tidak bercukai, manakala mesin dan jentera di premis itu turut disyaki digunakan untuk memproses kayu berkenaan.
Beliau berkata kesemua suspek serta barang kes kemudian diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Jajahan Tanah Merah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).
-- BERNAMA