Am 19/09/2026 10:40 AM

Main Teri Hampir Pupus, Usaha Pemeliharaan Perlu Diperkukuh

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Main Teri Hampir Pupus, Usaha Pemeliharaan Perlu Diperkukuh

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Main puteri (peteri), atau main teri dalam dialek Kelantan, iaitu satu seni persembahan amalan perubatan warisan tradisional masyarakat di negeri itu, kini berdepan kekurangan pengamal dan pelapis. 

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Rosnan Abdul Rahman berkata tidak hanya itu, usaha untuk mengetengahkan seni tersebut kepada umum juga berdepan kekangan.

“Antara kekangan itu ialah peraturan melibatkan penonton dari segi pencampuran lelaki dan wanita selain kewujudan unsur ritual dalam persembahan,” katanya ketika menjadi panel Wacana Seni: Angin Main Teri bersempena dengan program Himpunan Sebenar Main Teri di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), di sini baru-baru ini.

Selain daripada itu, beliau juga menggariskan kesukaran melatih “tok teri” (pengamal yang menerajui persembahan) kerana kemahiran tersebut bukan sesuatu yang dapat diraih daripada pembacaan, hafalan atau latihan di dalam kelas.

Maju Johor
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Rosnan Abdul Rahman

“Pengamal lazimnya berasal daripada keturunan pengamal dengan kemahiran diperoleh secara berguru selain mempunyai keupayaan tertentu,” jelasnya.

Rosnan yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan berkata usaha membuka semula ruang kepada seni tradisional memerlukan kesediaan semua pihak untuk berunding dan memahami pandangan masing-masing.

Beliau berkata pendekatan itu pernah digunakan dalam usaha mengembalikan pementasan makyung patuh syariah di Kelantan selepas kira-kira 30 tahun, namun bagi main puteri, usaha itu lebih mencabar kerana terdapat mantera dan ungkapan tradisional yang memerlukan penelitian pihak agamawan.

“Mereka perlu memahami kita dan kita juga perlu memahami mereka. Kekangannya ialah bahasa seniman dengan bahasa agamawan berbeza dan perlu diselarikan,” katanya, menambah usaha untuk mencapai persefahaman antaran kedua-dua pihak memerlukan masa dan rundingan berterusan.

Pada masa sama, katanya JKKN terus membantu melestarikan kesenian itu menerusi dokumentasi, rakaman, bantuan sokongan serta penyediaan platform persembahan kepada kumpulan seni tradisional.

Maju Johor
Dekan Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) ASWARA Mohd Kamarulzaman Taib

Dalam pada itu, Dekan Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) ASWARA Mohd Kamarulzaman Taib berkata peranan institusi pendidikan seni adalah untuk memberikan pendedahan mengenai muzik, nyanyian, lakonan, gerak tubuh dan falsafah main teri, bukannya melahirkan pengamal perubatan tradisional.

Bagaimanapun kata beliau, main teri sukar diajar secara menyeluruh dalam sistem pendidikan formal kerana kesenian itu tidak mempunyai skrip tetap, dengan watak yang boleh berubah mengikut keadaan dan sebahagian ilmunya diwariskan secara langsung daripada guru kepada pelajar.

Menurut beliau, tempoh pengajian selama satu atau dua semester hanya mampu memberikan pendedahan asas, justeru pelajar yang mahu mendalami kesenian itu perlu meneruskan pembelajaran dengan pengamal berpengalaman di luar kerangka pengajian formal.

“Dalam main teri, aspek persembahannya sangat luar biasa, termasuk cara muzik dimainkan, gerak tubuh memberi respons kepada muzik serta unsur nyanyian dan pergerakan. Kalau itu sahaja yang mampu kita bawa, sekurang-kurangnya memori tentang Main Teri masih wujud,” katanya.

Maju Johor
Pensyarah dan pengkaji teater tradisional Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr A.S. Hardy Shafii

Pensyarah dan pengkaji teater tradisional Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr A.S. Hardy Shafii pula berkata main teri perlu difahami dalam kerangka masyarakat tradisional yang menganggapnya sebagai satu kaedah rawatan bagi gangguan yang tidak dapat dilihat secara fizikal.

Menurutnya, konsep “angin” dalam amalan itu merujuk dorongan, kecenderungan atau semangat yang tersimpan dalam diri seseorang dan dibangkitkan menerusi muzik, nyanyian serta gerak tubuh.

Beliau berkata main teri melibatkan interaksi antara tok teri, tok minduk, pesakit dan pemuzik, dengan tok minduk bertindak sebagai pengantara manakala tok teri berusaha mengenal pasti “angin” yang dipercayai mengganggu atau terpendam dalam diri pesakit.

Maju Johor

Hardy berkata dokumentasi, penulisan dan rakaman video penting untuk memelihara pengetahuan mengenai main teri, namun tidak mampu menggantikan pengalaman menyaksikan persembahan itu secara langsung.

Wacana yang dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Seksyen APEL dan Pembangunan Kurikulum Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Nor Shuradi Nor Hashim itu diadakan dengan kerjasama Pusat Pengajian Seni USM, INSAN UiTM dan PuTRA ASWARA.

Program itu merupakan sebahagian daripada teater kontemporari imersif Angin Main Teri arahan Zahari Hamzah yang dipentaskan di BlackBox ASWARA pada 17 dan 18 Sept lepas, terbitan Benzarie Legacy bersama-sama JKKN Kuala Lumpur dengan sokongan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

-- BERNAMA