Am 19/09/2026 12:22 PM

Tiga Maut, Sembilan Cedera Dalam Kemalangan Di Jalan Jelapang-Ampang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tiga Maut, Sembilan Cedera Dalam Kemalangan Di Jalan Jelapang-Ampang
Kredit: PDRM dan orang awam

IPOH, 19 Sept (Bernama) -- Tiga penunggang motosikal maut, manakala sembilan lagi cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan 12 motosikal dan tiga kereta di Jalan Jelapang-Ampang di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata pihak polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira 3.35 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua kenderaan terbabit sedang bergerak dari arah Meru menghala ke Tambun, sebelum terlibat dalam kemalangan berkenaan.

"Akibat kemalangan itu, dua penunggang motosikal lelaki berusia 19 dan 20 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala seorang lagi mangsa (19 tahun) disahkan meninggal di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB)

"Sembilan lagi penunggang motosikal lelaki berusia antara 19 hingga 25 tahun mengalami kecederaan yang belum dapat dipastikan, dan telah dibawa ke HRPB untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Muhammad Najib berkata tiga pemandu kereta yang terlibat dalam insiden sama dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata pihak polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

-- BERNAMA