Dunia 19/09/2026 12:02 PM

Cuba Alami Gangguan Bekalan Elektrik Seluruh Negara Di Tengah Krisis Tenaga

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Cuba Alami Gangguan Bekalan Elektrik Seluruh Negara Di Tengah Krisis Tenaga
--AP Photo/Ramon Espinosa

ISTANBUL, 19 Sept (Bernama-Anadolu) -- Grid elektrik nasional Cuba terputus sepenuhnya pada Jumaat, menyebabkan seluruh negara bergelap ketika berdepan krisis tenaga, menurut Kesatuan Elektrik Cuba (UNE), lapor Anadolu Ajansi.

“Sistem Elektrik Nasional mengalami gangguan sepenuhnya. Protokol pemulihan kini sedang diaktifkan,” menurut UNE menerusi platform media sosial X.

Syarikat utiliti itu memaklumkan siasatan segera sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca gangguan dan perkembangan mengenai usaha memulihkan sistem akan terus dikemas kini.

Gangguan berkenaan merupakan yang terbaharu dalam siri kegagalan bekalan elektrik di seluruh Cuba tahun ini ketika infrastruktur tenaga negara itu yang semakin usang berdepan kekurangan bahan api dan kapasiti penjanaan yang terhad.

Cuba mengalami beberapa gangguan bekalan elektrik di seluruh negara pada Julai, selain satu lagi gangguan besar pada 2 Ogos, menurut pihak berkuasa dan laporan media antarabangsa.

Gangguan pada Jumaat merupakan kejadian terbaharu yang menyaksikan grid elektrik nasional negara itu lumpuh sepenuhnya.

Ia berlaku selepas kekurangan bekalan elektrik berpanjangan di Havana dan beberapa kawasan lain, dengan sesetengah bahagian ibu negara dilaporkan mengalami gangguan melebihi 30 jam sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Sistem tenaga Cuba terjejas akibat keadaan loji janakuasa terma yang semakin merosot, kekurangan bahan api serta kesukaran mengekalkan kapasiti penjanaan elektrik.

Kementerian Tenaga dan Galian sebelum ini mengaitkan gangguan bekalan elektrik dengan gabungan faktor infrastruktur yang semakin usang, kekurangan bahan api dan masalah dalam sistem penjanaan elektrik.

Sumber tenaga boleh baharu membantu menambah kapasiti penjanaan, namun loji janakuasa terma masih menjadi komponen utama sistem bekalan elektrik Cuba.

Kerajaan Cuba menyalahkan langkah dan sekatan Amerika Syarikat (AS) yang menjejaskan bekalan bahan api sebagai faktor yang memburukkan krisis tenaga, manakala Washington pula mengaitkan masalah ekonomi dan infrastruktur negara itu dengan dasar kerajaan Cuba.

-- BERNAMA-ANADOLU