Am 18/09/2026 10:17 PM

UPNP Syak Lebih 7,000 Hektar hutan Simpan Kekal Tasik Bera Diteroka Secara Haram

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
UPNP Syak Lebih 7,000 Hektar hutan Simpan Kekal Tasik Bera Diteroka Secara Haram
Kredit : FB Kerajaan Negeri Pahang

KUANTAN, 18 Sept (Bernama) – Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) mengesyaki kira-kira lebih 7,000 hektar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Tasik Bera telah diteroka secara haram untuk tanaman komersial seperti kelapa sawit dan getah.

Ketua UPNP Saifullah Muhammad Ali berkata perkara itu dikesan menerusi tindakan penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan di kawasan berkenaan bermula pada Isnin lepas dengan melibatkan 160 pegawai dan anggota daripada UPNP, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang serta Pejabat Daerah dan Tanah Bera.

“Selain itu, kita turut mendapatkan kawalan keselamatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Bera dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7,” katanya.

Saifullah berkata pihaknya turut mengesyaki terdapat sindiket haram dari luar Pahang yang memanipulasi masyarakat Orang Asli untuk membuka kawasan tanah secara besar-besaran dengan berselindung di sebalik alasan tanah adat dan kawasan rayau masyarakat itu.

Dalam operasi tersebut, beliau berkata terdapat kawasan yang hanya mempunyai kira-kira enam rumah Orang Asli, namun penerokaan yang dikesan meliputi kawasan hingga 404.68 hektar.

Pada Rabu lepas, media melaporkan polis telah menahan lima individu kerana dipercayai menghalang penguat kuasa menjalankan tugas semasa melaksanakan operasi di Hutan Simpan Pemuliharaan Tasik Bera pada 15 Sept. 

Ketua Polis Daerah Bera Superintendan Zulkiflee Nazir dilaporkan berkata pihaknya telah menahan seorang lelaki dan empat wanita berumur lingkungan 30 hingga 60-an bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata semasa UPNP bersama dengan beberapa agensi menjalankan operasi penguatkuasaan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984, sekumpulan individu didapati mendirikan halangan dan membuat provokasi terhadap sepasukan penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas. 

-- BERNAMA