Am 16/09/2026 01:00 PM

100 Bot Sertai Perarakan Air Di Sungai Perak Bersempena Dengan Hari Malaysia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
100 Bot Sertai Perarakan Air Di Sungai Perak Bersempena Dengan Hari Malaysia
Sebahagian para peserta yang menyertai Program Perarakan 100 Bot sempena Sambutan Hari Malaysia di Jeti Nelayan Kepala Pulau hari ini.

PASIR SALAK, 16 Sept (Bernama) -- Sebanyak 100 bot menyertai perarakan air sejauh 16 kilometer di Sungai Perak bersempena dengan sambutan Hari Malaysia, sekali gus mengetengahkan potensi sungai berkenaan sebagai destinasi pelancongan serta sumber ekonomi komuniti setempat.

Rata-rata bot yang turut serta dalam perarakan hari ini mengibarkan Jalur Gemilang serta bendera negeri Perak pada bot masing-masing.

Pengerusi Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Pasir Salak Ramelle Ashram Ramli berkata program julung-julung kali dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Perak itu, menghimpunkan komuniti dari 13 kampung, termasuk nelayan darat dan masyarakat setempat.

“Kita mengambil masa kira-kira sebulan untuk membuat persiapan bagi menganjurkan perarakan yang julung-julung kali diadakan ini, melibatkan komuniti setempat dengan laluan bermula dari Jeti Kepala Pulau hingga ke Sungai Buaya yang mengambil masa kira-kira satu jam setengah.

“Selain menyemarakkan sambutan Hari Malaysia, kita mahu menjadikan perarakan ini sebagai platform bagi mempromosikan daya tarikan pelancongan Sungai Perak serta kehidupan komuniti setempat,” katanya ketika ditemui pemberita di Jeti Kepala Pulau di sini hari ini.

Ramelle Ashram berkata program berkenaan juga berupaya memberikan kesedaran awam mengenai peranan penting serta keberadaan komuniti nelayan darat yang dianggarkan seramai 300 keluarga di Parlimen berkenaan.

“Melalui penganjuran ini, kita mahu masyarakat lebih memberi perhatian kepada peranan komuniti nelayan darat tempatan, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk meningkatkan taraf sosioekonomi mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ramelle Ashram berharap perarakan bot berkenaan dapat dijadikan acara tahunan dengan penglibatan lebih banyak agensi kerajaan serta skop penganjuran yang lebih besar pada masa hadapan.

Mengulas potensi pelancongan di kawasan berkenaan, Ramelle Ashram menyarankan supaya promosi menerusi media sosial dipergiat oleh pihak berwajib dan pemain industri bagi menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan pesisir Sungai Perak.

Beliau berkata kawasan Pasir Salak mempunyai pelbagai tarikan termasuk inap desa di kampung serta Kompleks Sejarah Pasir Salak yang boleh diketengahkan kepada pelancong.

“Promosi kawasan pesisir Sungai Perak perlu dipergiatkan, khususnya menerusi media sosial, bagi menarik lebih ramai pengunjung serta memperkenalkan keunikan dan potensi pelancongan berasaskan komuniti di kawasan ini,” katanya.

-- BERNAMA