YAMAN/ISTANBUL, 16 Sept (Bernama-Anadolu) -- Kerajaan Yaman pada Selasa memaklumkan hampir 12,600 keluarga kehilangan tempat tinggal di enam wilayah dalam gelombang pemindahan penduduk terbaharu susulan peningkatan konflik ketenteraan di negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa Yaman Mohammed Al-Baqmi berkata dalam pertemuan dengan Menteri Luar Afrah Al-Zouba serta wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kumpulan antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan bahawa 12,597 keluarga yang kehilangan tempat tinggal itu memerlukan tempat perlindungan, makanan dan air bersih dengan segera.
Al-Baqmi menggesa tindakan segera di peringkat antarabangsa untuk menggembleng sumber dan menangani jurang pembiayaan dalam usaha tindak balas kemanusiaan, menurut agensi berita rasmi Yaman, Saba.
Secara berasingan, pihak berkuasa tempatan di ibu negara sementara Aden mengumumkan bahawa Gabenor Abdulrahman Sheikh mengeluarkan keputusan untuk menubuhkan sebuah sel tindak balas kemanusiaan bagi menangani keperluan yang timbul susulan peningkatan konflik ketenteraan dan gelombang pemindahan penduduk ke bandar itu.
Menurut pihak berkuasa tempatan, sel itu akan menilai keperluan penduduk yang kehilangan tempat tinggal dari pantai barat dan Taiz serta berusaha menyalurkan bantuan berdasarkan sumber yang tersedia.
Keadaan di Yaman agak reda sejak April 2022 selepas perang selama hampir 12 tahun antara tentera kerajaan yang disokong pakatan diketuai Arab Saudi dengan Houthi yang disokong Iran, yang menawan ibu negara Sanaa dan sebahagian besar negara itu pada 2014.
Sejak akhir 2023 selepas perang Gaza bermula, kumpulan Houthi semakin terlibat dalam konflik serantau dengan melancarkan serangan terhadap Israel dan perkapalan komersial di Laut Merah, manakala pertempuran yang kembali tercetus baru-baru ini menimbulkan kebimbangan konflik berskala penuh akan kembali berlaku di Yaman.
-- BERNAMA-ANADOLU