Oleh Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi
BEIJING, 16 Sept (Bernama) -- Hubungan Malaysia-China terus berkembang maju, dengan kedua-dua negara komited untuk memperkukuh kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, teknologi dan bidang lain yang berpotensi tinggi, kata Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad.
Beliau berkata China kekal sebagai rakan penting bagi Malaysia, dengan hubungan dua hala yang berasaskan sikap saling menghormati dan mempercayai terus membuahkan hasil positif dalam pelbagai sektor sejak hubungan diplomatik terjalin 52 tahun lalu.
“Hubungan antara Malaysia dan China yang berlandaskan sikap saling menghormati dan mempercayai terus bertambah kukuh,” katanya dalam ucapan pada Majlis Resepsi Hari Kebangsaan Malaysia yang diadakan di sebuah hotel di sini pada Selasa malam.
Norman berkata China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah US$132.50 bilion (RM541.90 bilion) pada 2025, merangkumi 17.7 peratus daripada keseluruhan perdagangan global Malaysia.
Beliau berkata perdagangan dua hala terus mencatat prestasi kukuh tahun ini, mencecah US$35.49 bilion (RM140.76 bilion) dari Januari hingga Mac 2026, manakala pelaburan terkumpul yang telah dilaksanakan dari China antara 1980 hingga 2025 berjumlah US$24.5 bilion (RM110.9 bilion).
“Pelaburan yang telah dilaksanakan ini mewujudkan 106,712 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” katanya sambil menambah bahawa Malaysia kekal komited untuk menarik pelaburan mampan yang akan menjana kesan limpahan positif kepada ekonomi negara.
Norman berkata Malaysia juga berhasrat memperluas kerjasama dengan China dalam sektor baharu muncul dan berpotensi tinggi, termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi hijau, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Strategi Semikonduktor Nasional dan Strategi Pelaburan Hijau.
Beliau berkata Malaysia, China dan 36 negara lain menandatangani perjanjian pada Julai untuk menjadi anggota pengasas Pertubuhan Kerjasama Kecerdasan Buatan Dunia (WAICO), dengan Malaysia antara tujuh negara anggota ASEAN yang terlibat dalam penubuhannya.
“Malaysia kekal komited dan menyokong sepenuhnya matlamat WAICO untuk menggalakkan kerjasama antarabangsa dan tadbir urus global berkaitan AI.
“Kita mesti memastikan AI bermanfaat, selamat, adil dan terbuka kepada semua,” katanya.
Norman turut berkata Malaysia mengalu-alukan inisiatif China termasuk Inisiatif Jalur dan Laluan, Inisiatif Pembangunan Global, Inisiatif Keselamatan Global dan Inisiatif Tamadun Global, sambil menekankan kepentingan persekitaran antarabangsa yang berlandaskan kesamaan dan undang-undang antarabangsa.
“Bagi Malaysia dan China, satu-satunya jalan ke hadapan adalah untuk melangkah maju bersama-sama.
“Malaysia bersedia untuk bekerjasama erat dengan rakan-rakan kami dari China bagi membina masa depan yang lebih baik untuk rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Majlis resepsi yang diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69 dan Hari Malaysia ke-63 itu dihadiri 440 tetamu termasuk wakil kerajaan China, anggota kor diplomatik, pegawai Kedutaan Malaysia, pengamal media, pelajar universiti, pemain industri dan rakyat Malaysia di Beijing.
Naib Menteri Luar China Miao Deyu yang juga anggota Jawatankuasa Parti Komunis China di Kementerian Luar merupakan tetamu kehormat pada majlis berkenaan.
-- BERNAMA