Oleh Nurhafizah Tan
KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Ubat yang menyokong penurunan berat badan generasi baharu seperti tirzepatide (lebih dikenali menerusi jenamanya Mounjaro) kini semakin mendapat perhatian susulan popularitinya di media sosial, dengan ada yang melihat suntikan mingguan itu sebagai jalan pintas untuk mendapatkan bentuk badan idaman.
Trend berkenaan bagaimanapun turut mencetuskan persoalan kerana tirzepatide merupakan rawatan perubatan yang penggunaannya perlu disesuaikan dengan keadaan kesihatan dan dipantau oleh doktor.
Pensyarah perubatan dan pakar bariatrik di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Loo Guo Hou berkata rawatan obesiti moden kini berdepan dilema baharu melibatkan individu yang mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) normal.
"Dahulu majoriti pesakit datang apabila obesiti mereka sudah kritikal berserta komplikasi seperti kencing manis dan darah tinggi. Sekarang, pesakit datang lebih awal kerana tahu ada pilihan rawatan selain diet dan senaman. Ini perkembangan positif.
"Namun, kita menerima kumpulan baharu individu ber-BMI normal yang mahu menggunakan ubat ini hanya untuk turun dua hingga tiga kilogram demi tujuan kosmetik jangka pendek. Mounjaro bukan ubat kosmetik, tetapi rawatan penyakit metabolik dan obesiti bagi mereka yang memenuhi indikasi perubatan," katanya kepada Bernama.
Dr Loo berkata indikasi rasmi rawatan berat badan di Malaysia adalah untuk individu dengan BMI 30 ke atas, atau 27 hingga kurang 30 yang mempunyai komorbiditi kesihatan.
Beliau berkata tindakan memaksa penurunan berat badan secara drastik tanpa kawalan pemakanan boleh memakan diri, terutamanya risiko kehilangan jisim otot (sarcopenia) serta ancaman berat badan naik semula (rebound) sebaik sahaja ubat dihentikan tanpa pelan mampan.
"Berdasarkan kajian, apabila ubat dihentikan secara mendadak, kumpulan yang ditukar kepada plasebo mengalami kenaikan semula berat yang ketara. Obesiti ialah penyakit kronik dan berulang, bukan seperti jangkitan yang selesai selepas makan antibiotik beberapa hari," katanya.
Dr Loo berkata penggunaan ubat juga tidak seharusnya dilihat sebagai pengganti kepada gaya hidup sihat kerana tempoh selera makan lebih terkawal boleh dimanfaatkan untuk membina tabiat baharu yang menyokong penurunan berat badan dalam jangka panjang.
“Saya selalu beritahu pesakit, ubat membantu mengawal rasa lapar, tetapi kita tetap perlu menjaga pemakanan. Gunakan peluang ketika selera terkawal untuk membina tabiat baharu, termasuk pengambilan protein mencukupi, pemakanan berkualiti dan aktiviti fizikal bagi hasil jangka panjang yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Doktor Estetik Kanan Premier Clinic Dr Foo Wing Jian berkata antara faktor risiko yang sering terlepas pandang ialah lemak viseral atau lemak yang terkumpul di sekitar organ dalaman.
Memetik statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), beliau berkata lebih separuh atau kira-kira satu daripada dua orang dewasa di Malaysia berdepan masalah berat badan berlebihan dan obesiti.
"Lemak di bawah kulit (subcutaneous fat) yang lapisan luarnya boleh dipegang seperti di bahagian dagu atau pinggang lebih kepada masalah kosmetik. Namun, risiko sebenar kesihatan berpunca daripada lemak viseral yang membungkus organ dalaman seperti hati, usus dan pankreas.
"Oleh sebab itu penilaian obesiti tidak boleh bergantung pada nombor di penimbang sahaja. Seseorang yang kelihatan kurus masih boleh mengalami obesiti metabolik sekiranya ukuran pinggang melebihi 90 sentimeter bagi lelaki dan 80 sentimeter bagi wanita, atau ujian darah menunjukkan tahap gula dan enzim hati yang tidak normal," katanya.
Beliau berkata ubat suntikan Mounjaro bertindak pada dua laluan hormon, iaitu glucose-dependent insulinotropic polypeptide (GIP) dan glucagon-like peptide-1 (GLP-1), bagi membantu mengawal selera makan dan pengambilan makanan, sekali gus menghasilkan penurunan berat badan yang ketara serta pengurangan lemak viseral.
Dr Foo berkata pemakanan seimbang, aktiviti fizikal, tidur mencukupi dan perubahan tingkah laku kekal sebagai asas pengurusan berat badan, namun sesetengah individu mungkin memerlukan sokongan perubatan tambahan bergantung pada keadaan kesihatan dan penilaian doktor.
Bagi memastikan penurunan berat badan berlaku secara sihat, Dr Foo mengesyorkan pengambilan protein yang mencukupi bagi membantu mengekalkan jisim otot sepanjang proses penurunan berat badan selain amalan gaya hidup sihat termasuk bersenam.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya membeli ubat kawalan preskripsi (controlled medication) itu, sama ada di pasaran gelap atau platform e-dagang tanpa pemantauan doktor bagi mengelakkan risiko menerima produk tiruan atau rosak yang boleh mengakibatkan kegagalan organ.
-- BERNAMA