Dunia 16/09/2026 08:54 AM

Aga Khan Trust Terima Pujian Atas Usaha Pemuliharaan Warisan Hyderabad

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Aga Khan Trust Terima Pujian Atas Usaha Pemuliharaan Warisan Hyderabad
Kredit: Aga Khan Development Network

Oleh Shakir Husain

HYDERABAD, 15 Sept (Bernama) -- Rangkaian Pembangunan Aga Khan (AKDN) menerima pujian atas usaha pemuliharaan warisan di bandar Hyderabad.

Ketua AKDN Putera Rahim Aga Khan V, yang juga Imam ke-50 secara turun-temurun bagi komuniti Ismaili, pada Selasa mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri negeri Telangana Anumula Revanth Reddy di ibu negeri itu.

“Perbincangan itu menyentuh usaha berterusan AKDN sejak sekian lama di Telangana dalam bidang warisan budaya, pendidikan, penjagaan kesihatan, pembangunan bandar dan pembangunan komuniti,” menurut organisasi itu dalam kenyataan.

Reddy menyatakan penghargaan terhadap kerja pemuliharaan dan pembangunan landskap yang dilaksanakan Aga Khan Trust for Culture (AKTC), sebuah agensi di bawah AKDN, di Kompleks Makam Qutb Shahi serta usaha badan amanah itu di bangunan Dewan Undangan Lama yang dibina pada era Nizam.

“Kami mengadakan perbincangan bermakna mengenai pemuliharaan warisan, pendidikan, penjagaan kesihatan serta peluang untuk memperluas kerjasama di Telangana,” kata Menteri Kebajikan Minoriti negeri Mohammad Azharuddin menerusi hantaran di X selepas mengucapkan selamat jalan kepada Putera Rahim.

Projek terbesar AKTC di India ialah kerja pemulihan dan penghidupan semula Kompleks Makam Humayun di Delhi.

Putera Rahim melakukan lawatan pertamanya ke India dari 9 hingga 15 Sept sejak menjadi Imam pada Februari 2025 susulan kemangkatan ayahandanya Putera Karim Aga Khan IV.

Beliau sebelum itu melawat New Delhi, Ahmedabad dan Mumbai serta mengadakan pertemuan dengan Presiden Droupadi Murmu, Naib Presiden C.P. Radhakrishnan, Perdana Menteri Narendra Modi dan pemimpin kanan negeri.

-- BERNAMA