Daripada Nurrul Huda Ahmad Lufti
MEDAN, 16 Sept (Bernama) -- Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) terus memperkukuh ekosistem penyelidikan negeri Perlis menerusi pelaksanaan 49 geran penyelidikan bernilai keseluruhan RM370,000 bagi Fasa III (2026/2027).
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah jumlah itu merangkumi 40 Geran Penyelidikan Jangka Pendek (STG), lima Geran Khas Flagship FCoEE dan empat Geran Sepadan.
Baginda bertitah ia mencerminkan komitmen FCoEE yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk menjadikan penyelidikan sebagai pemacu pembangunan pendidikan, pemerkasaan asnaf dan pembangunan modal insan.
“Memasuki Fasa III, FCoEE memperkenalkan struktur geran yang lebih strategik meliputi Geran Jangka Pendek bernilai RM7,000, Geran Khas RM10,000 dan Geran Sepadan RM10,000 bagi menyokong penghasilan pangkalan data, dapatan empirikal serta penyelesaian berasaskan bukti.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap penyelidikan yang dilaksanakan bukan sekadar menghasilkan pengetahuan, tetapi mempunyai nilai guna dan mampu memberikan manfaat kepada masyarakat,” titah Raja Muda Perlis.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan menyerahkan sumbangan Ibnu Sabil MAIPs kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Medan yang diterima oleh Konsul Jeneral Shahril Nizam Abdul Malek sebelum berangkat pulang ke Malaysia di pekarangan Bilik Orang Kenamaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Kabupaten Deli Serdang, Sumatera Utara dekat sini semalam.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah dengan 49 geran dalam satu fasa, FCoEE perlu memastikan setiap pelaburan dalam ilmu diterjemahkan kepada impak yang bermakna kepada masyarakat dan pembangunan negeri.
Baginda bertitah Fasa III itu memperlihatkan evolusi Geran Penyelidikan FCoEE daripada sekadar menyokong aktiviti penyelidikan kepada pembinaan ekosistem ilmu yang mampu menghasilkan data, inovasi dan penyelesaian yang nyata.
Raja Muda Perlis bertitah fokus penyelidikan FCoEE meliputi bidang strategik termasuk Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan, keusahawanan, pengurusan zakat dan wakaf, kesejahteraan asnaf serta kebolehpasaran.
"Usaha tersebut turut melibatkan penyelidik serta kolaborasi bersama universiti, agensi kerajaan dan rakan strategik bagi memperluas kepakaran serta menghasilkan penyelidikan yang lebih bersifat praktikal dan berimpak," titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah hasil kajian itu diharapkan dapat menjadi asas kepada pembentukan dasar, pelaksanaan intervensi dan pembangunan masyarakat berasaskan bukti, khususnya dalam menangani isu pendidikan serta kemiskinan.
Baginda berada di Medan untuk lawatan khas dari 13 hingga semalam bagi menghadiri Istiadat Pemasyhuran Raja Muda Perlis sebagai Canselor Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM), yang berlangsung di Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) pada 14 Sept itu.
Raja Muda Perlis turut berkenan menyempurnakan majlis penutupan Persidangan Antarabangsa mengenai Teknologi Digital Generasi Baharu (NEXT-D) 2026 anjuran FCoEE bersama UMSU pada 13 Sept, selain melancarkan kempen Marnia Connect for Charity yang menyalurkan seluruh hasil jualan produk bagi menyokong kanak-kanak penghidap kanser dan autisme.
Lawatan kerja itu memperkukuh hubungan diplomatik, jaringan pendidikan tinggi serta kerjasama kebajikan rentas sempadan antara Malaysia dan Indonesia.
-- BERNAMA