KLUANG, 16 Sept (Bernama) -- Usaha berterusan Sekolah Kebangsaan (SK) Yong Peng, Batu Pahat selama hampir tiga bulan membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai juara Pertandingan Choral Speaking Peringkat Negeri Johor 2026 semalam.
Jurulatih dan Guru Bahasa Inggeris SK Yong Peng Nur Afiqah Zainal berkata kemenangan bagi tahun ketiga berturut-turut itu menyuntik semangat dalam kalangan anggota kumpulan berkenaan untuk mengulangi kejayaan muncul juara pada pertandingan peringkat kebangsaan yang dimenangi tahun lepas, yang akan berlangsung di Putrajaya bulan depan.
Beliau berkata dengan bertemakan United Voices Resounding Peace, kumpulan berkenaan telah menjalani latihan sejak Jun, selepas pemilihan dan saringan awal dilakukan dalam kalangan pelajar yang benar-benar berbakat serta mempunyai minat untuk bertutur dalam bahasa Inggeris.
“Pengalaman menjadi juara sebelum ini (2024 dan 2025) di peringkat negeri Johor dan 2025 di peringkat kebangsaan membolehkan kami melaksanakan program ‘mentor-mentee’ bagi melahirkan golongan pelapis hasil bantuan latihan daripada pelajar senior.
“Dengan kejayaan ini, kami turut membuktikan sekolah berstatus luar bandar juga mampu bersaing dan bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik setanding sekolah di bandar,” katanya kepada Bernama selepas pertandingan yang diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa di sini.
Nur Afiqah berkata cabaran untuk melatih murid sekolah rendah sangat berbeza kerana perlu berdepan pelbagai karenah, berbanding pelajar sekolah menengah yang sudah pandai berdikari dan memiliki mentaliti untuk menjadi juara dalam pertandingan yang disertai.
“Kejayaan ini tidak akan hadir tanpa sokongan dan dorongan daripada Jurulatih Bersama yang juga Pegawai Pendidikan Daerah Batu Pahat Hanif Nor Azahar dan Ahli Dewan Undangan Negeri Yong Peng Ling Tian Soon yang banyak memberikan galakan kepada kami,” katanya.
Sementara itu, Nurqisya Irdina Mazlan, 12, berkata ini adalah tahun ketiga dia menyertai pertandingan berkenaan, sekali gus membantu SK Yong Peng meraih gelaran juara bagi peringkat negeri Johor.
“Walaupun ini tahun terakhir saya bersama sekolah untuk menyertai pertandingan berkenaan, saya tetap bersemangat dan berhasrat untuk meneruskannya apabila melangkah ke peringkat sekolah menengah tahun hadapan,” katanya.
Sementara itu, tempat kedua bagi kategori sekolah rendah pada Pertandingan Choral Speaking Peringkat Negeri Johor 2026 yang dianjurkan secara bersama oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dengan kerjasama Yayasan JCorp dan Zus Coffee itu dimenangi oleh SK Perempuan Sultan Ibrahim, Johor Bahru dan tempat ketiga SK Abdul Rahman Yassin, Kluang.
Bagi kategori sekolah menengah pula, juara menjadi milik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yong Peng, Batu Pahat, tempat kedua (SMK Ungku Hussin, Mersing) dan tempat ketiga (SMK Tinggi Kluang).
-- BERNAMA