Am 15/09/2026 02:20 PM

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari Susulan Tekanan Jualan, Sentimen Berhati-hati

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari Susulan Tekanan Jualan, Sentimen Berhati-hati

Oleh Harizah Hanim Mohamed and Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari berikutan tekanan jualan meluas sepanjang sesi dagangan pagi.

Prestasi indeks penanda aras itu turut mencerminkan sentimen berhati-hati dalam pasaran menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat pada 15-16 September.

Pada 12.30 tengah hari, FBM KLCI susut 12.44 mata kepada 1,685.57 daripada 1,698.01 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks penanda aras yang dibuka 3.10 mata lebih rendah pada 1,694.91, bergerak antara 1,683.38 dan 1,694.91 sepanjang sesi.

Sentimen pasaran secara keseluruhan kekal negatif dengan 628 kaunter rugi berbanding 315 kaunter untung. Sebanyak 522 kaunter tidak berubah, 1,378 tidak diniagakan dan 13 digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.95 bilion saham bernilai RM1.36 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata kepada Bernama bahawa sektor perladangan dan tenaga mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak mentah, yang turut berpotensi mendorong kenaikan harga komoditi lain.

Dalam kalangan kaunter berkaitan perladangan, Kuala Lumpur Kepong meningkat 36 sen kepada RM22.86, IOI Corporation menambah satu sen kepada RM4.94, United Plantations naik 40 sen kepada RM33.50 dan Sarawak Oil Palms meningkat 18 sen kepada RM6.39.

Kaunter berkaitan tenaga MISC dan Yinson masing-masing naik 10 sen kepada RM7.91 dan RM2.10, manakala Gas Malaysia dan Solarvest masing-masing meningkat tujuh sen kepada RM5 dan RM3.27.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank kekal pada RM10.46 dan CIMB menambah tiga sen kepada RM7.80. Public Bank susut satu sen kepada RM4.84, Tenaga Nasional berkurangan 20 sen kepada RM13.44 dan IHH Healthcare turun enam sen kepada RM7.70.

Bagi kaunter paling aktif, Zetrix AI meningkat satu sen kepada 25.5 sen, manakala Butterfield yang baharu disenaraikan di Pasaran ACE susut tujuh sen kepada 41 sen dan Top Glove berkurangan 1.5 sen kepada 81.5 sen. MQ Technology dan Ni Hsin pula tidak berubah masing-masing pada 5.5 sen dan 29 sen.

Antara kaunter untung utama, Fraser & Neave melonjak 26 sen kepada RM23.50, Westports menambah 11 sen kepada RM6.83 dan AMMB meningkat sembilan sen kepada RM6.74.

Dalam kalangan kaunter rugi utama, Nestle susut 32 sen kepada RM90.98, manakala Malaysian Pacific Industries dan Dutch Lady Milk masing-masing turun 24 sen kepada RM39.76 dan RM31.

Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 susut 74.52 mata kepada 17,615.56, manakala Indeks FBM ACE berkurangan 39.86 mata kepada 5,175.77.

Indeks FBM Emas susut 79.10 mata kepada 12,480.81, Indeks FBM Top 100 turun 80.89 mata kepada 12,279.45 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 79.52 mata kepada 12,333.24.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 2.13 mata kepada 187.07 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 81.23 mata kepada 19,710.34. Sebaliknya, Indeks Tenaga meningkat 5.54 mata kepada 820.46 dan Indeks Perladangan mengukuh 91.05 mata kepada 9,587.78.

Pasaran tempatan akan ditutup esok sempena cuti umum Hari Malaysia dan dagangan akan dibuka semula pada Khamis.

-- BERNAMA