Ekonomi 12/09/2026 08:13 AM

Anwar Akan Bertemu Modi, Pemimpin Industri Hari Ini

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Anwar Akan Bertemu Modi, Pemimpin Industri Hari Ini
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

Daripada M. Saraswathi

NEW DELHI, 12 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan mengadakan tiga pertemuan dua hala hari ini di luar Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di sini.

Ia bermula dengan pertemuan dua hala bersama Presiden Iran Masoud Pezeshkian, diikuti pertemuan dengan rakan sejawatannya dari India yang juga tuan rumah sidang kemuncak itu, Narendra Modi.

Pertemuan dua hala ketiga beliau adalah dengan Perdana Menteri Ethiopia Abiy Ahmed.

Perdana Menteri turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev.

Ini akan diikuti dengan sesi pertemuan perniagaan, termasuk dengan Adani Group, yang menyasarkan sebagai peneraju pasaran dalam portfolio perniagaan logistik pengangkutan dan utiliti tenaga, dengan tumpuan kepada pembangunan infrastruktur berskala besar di India.

Turut dijadualkan ialah pertemuan dengan Segula Technologies India Pvt Ltd, sebuah kumpulan kejuruteraan global; AWL Agri Business Ltd, antara syarikat makanan dan barangan pengguna bergerak cepat terbesar di India serta Motherson Group, sebuah syarikat pakar global terkemuka dalam bidang reka bentuk, kejuruteraan, pembuatan, pemasangan dan logistik.

Kemudian, Perdana Menteri akan menghadiri majlis makan malam gala untuk para pemimpin negara anggota, negara rakan dan negara jemputan BRICS di Bharat Mandapan, iaitu pusat pameran dan konvensyen yang menjadi lokasi berlangsungnya sidang kemuncak itu.

Sidang kemuncak itu yang bertemakan ‘Membina Daya Tahan, Inovasi, Kerjasama dan Kemampanan’, akan menumpukan kepada pengukuhan daya tahan, kerjasama ekonomi serta pembaharuan perdagangan dan pelaburan.

Sebagai negara pengasas BRICS, India sebelum ini telah memegang jawatan pengerusi sebanyak tiga kali pada 2012, 2016 dan 2021. India mengambil alih jawatan pengerusi BRICS keempat pada 1 Jan 2026.

Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS adalah atas kapasitinya sebagai negara rakan BRICS sejak 1 Jan 2025.

-- BERNAMA