Am 12/09/2026 09:30 AM

Tanah Runtuh: Lorong Kiri KM 263.6 Lebuhraya Utara-Selatan Ditutup - Polis

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tanah Runtuh: Lorong Kiri KM 263.6 Lebuhraya Utara-Selatan Ditutup - Polis
Kredit: IPK Perak

IPOH, 12 Sept (Bernama) -- Penutupan lorong kiri di kawasan tanah runtuh di Kilometer (KM) 263.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan akan dilaksanakan dengan pemasangan kon keselamatan dari KM 262.8 hingga KM 263.8 sejauh kira-kira satu kilometer.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata penutupan lorong itu sebagai langkah berjaga-jaga dan ketika ini aliran trafik bertentangan belum diaktifkan dengan pergerakan trafik dipantau dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan di lokasi.

“Kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan vista point akan difokuskan ke lokasi kejadian bagi membolehkan pemantauan berterusan terhadap keadaan kawasan tanah runtuh dan pergerakan trafik di laluan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis dan PLUS Malaysia Bhd (PLUS) serta agensi berkaitan terus menjalankan pemantauan bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya.

Beliau menasihatkan pengguna lebuh raya supaya memandu dengan berhati-hati, mematuhi arahan petugas serta papan tanda keselamatan dan mengurangkan kelajuan ketika melalui kawasan itu.

Semalam, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan kejadian cerun runtuh di KM 263.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dari Terowong Menora ke Ipoh menyebabkan kesesakan trafik sejauh 15 km yang juga disebabkan oleh kerja pembersihan di lokasi.

-- BERNAMA