Dunia 07/09/2026 07:23 PM

Keadaan Abu Semakin Baik, Indonesia Masih Teliti Kualiti Udara Di Lapangan Terbang Terjejas

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Keadaan Abu Semakin Baik, Indonesia Masih Teliti Kualiti Udara Di Lapangan Terbang Terjejas
Seorang juruteknik mengukur bacaan seismik susulan letusan Gunung Anak Krakatau di sebuah pos pemerhatian di Pasauran, wilayah Banten, Indonesia pada Isnin. -- Kredit: AP Photo/Dziki Oktomauliyadi

Daripada Nik Nurfaqih Nik Wil

JAKARTA, 7 Sept (Bernama) -- Keadaan abu gunung berapi di sekitar beberapa lapangan terbang Indonesia semakin pulih pada Isnin, dengan ujian di empat lapangan terbang mendapati tiada abu pada aras bumi, termasuk empat keputusan negatif berturut-turut di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta Jakarta, kata pihak berkuasa.

Menteri Pengangkutan Dudy Purwagandhi berkata empat ujian berturut-turut pada aras bumi atau permukaan tanah di Soekarno-Hatta menunjukkan negatif untuk abu gunung berapi namun pihak berkuasa menangguhkan pembukaan semula pintu masuk antarabangsa utama Indonesia itu sehingga pihaknya berpuas hati bahawa keadaan selamat.

"Kami telah menjalankan empat ujian, atau ujian kertas (kualiti udara), di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta dan mendapati keputusannya negatif. Namun, kami tidak segera membukanya semula kerana kami ingin benar-benar pasti," katanya semasa taklimat bersama Presiden Prabowo Subianto pada Isnin.

Dudy berkata langkah lebih berhati-hati itu perlu kerana arah angin telah berubah semasa episod abu gunung berapi, yang mengubah arah penyebaran dari Anak Krakatau.

Beliau berkata lapan lapangan terbang yang terjejas akibat abu gunung berapi Anak Krakatau pada mulanya ditutup sementara, dengan Lapangan Terbang Atung Bungsu di Pagar Alam, Sumatera Selatan, dibuka semula pada 9 pagi Isnin.

Baki tujuh lagi lapangan terbang iaitu Soekarno-Hatta, Halim Perdanakusuma, Radin Inten II, Budiarto Curug, Husein Sastranegara, M. Taufik Kiemas dan Pondok Cabe, ditutup sementara hingga 6 petang waktu tempatan Isnin.

Setakat 9 pagi Isnin, gangguan abu gunung berapi menjejaskan kira-kira 2,300 penerbangan dan 270,337 penumpang sejak 5 Sept, termasuk penerbangan yang dibatalkan, ditangguhkan atau dialihkan, menurut data Kementerian Pengangkutan.

Daripada jumlah itu, 1,397 penerbangan melibatkan kira-kira 177,579 penumpang terjejas di lapangan terbang yang ditutup sementara, manakala 922 penerbangan dan kira-kira 92,758 penumpang terjejas di lapangan terbang lain berikutan pelarasan laluan penerbangan.

Sementara itu, Ketua Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Teuku Faisal Fathani pada taklimat sama berkata ujian pengesanan abu aras bumi turut menunjukkan keputusan negatif di lapangan terbang Halim Perdanakusuma, Husein Sastranegara dan Budiarto Curug.

“Kita dapat lihat bahawa abu gunung berapi pada paras yang lebih tinggi, mencecah hingga 50,000 kaki, telah bergerak ke arah Lautan Hindi, manakala abu di paras yang lebih rendah, dari permukaan sehingga 15,000 kaki, kekal di sekitar kawasan yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata BMKG sedang meneruskan penyelarasan dengan Pusat Nasihat Abu Gunung Berapi Darwin (VAAC), yang meliputi Asia Tenggara, Australia dan kawasan sekitarnya, ketika pihak berkuasa menilai keadaan untuk pembukaan semula lapangan terbang yang terkesan.

Beliau berkata BMKG juga telah melancarkan laman web cuaca penerbangan yang dikemas kini secara berterusan.

Orang ramai boleh menyemak lapangan terbang yang ditutup, tempoh penutupan dan perubahan seterusnya dalam status operasi penerbangan pada laman tersebut.

Sementara itu, Dudy berkata lapangan terbang Kertajati, Juanda, Ahmad Yani, Adi Soemarmo dan Yogyakarta Antarabangsa disediakan sebagai alternatif, manakala 10 lapangan terbang sedang disiapkan untuk operasi 24 jam bagi menampung penerbangan dilencongkan dan mempercepat pemulihan jadual penerbangan.

Beliau berkata syarikat penerbangan juga sedang menyesuaikan operasi melalui lapangan terbang alternatif, termasuk perkhidmatan Garuda Indonesia dan Lion Air melalui Kertajati, manakala Singapore Airlines akan menempatkan pesawat Airbus A350 yang lebih besar melalui Juanda dan Yogyakarta untuk menampung lebih ramai penumpang.

Dudy berkata penumpang yang penerbangannya dibatalkan berhak mendapat bayaran balik penuh, manakala pihak berkuasa imigresen menyediakan kelonggaran untuk warga asing yang melebihi tempoh penginapan mereka susulan gangguan itu.

-- BERNAMA