KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Pelarian Myanmar yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang sah masih tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata pelarian berkenaan boleh diambil tindakan seperti pendatang tanpa izin sekiranya melakukan kesalahan imigresen lain, termasuk bekerja tanpa pas atau permit yang sah.
“Majikan yang menggaji pelarian pemegang kad UNHCR tanpa kebenaran yang sah juga boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria menafikan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pernah mengeluarkan kenyataan bahawa pelarian Myanmar yang memiliki kad UNHCR bukan pendatang tanpa izin seperti yang dilaporkan oleh media.
Terdahulu, media melaporkan pemegang kad UNHCR tidak boleh dikenakan tindakan imigresen dan ia di luar bidang kuasa JIM.
Zakaria menjelaskan bahawa pengecualian hanya melibatkan dua kesalahan di bawah Akta Imigresen, iaitu kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah serta kesalahan tinggal lebih masa.
“Pengecualian terhadap kedua-dua kesalahan ini tidak bermaksud pemegang kad UNHCR dikecualikan daripada pematuhan terhadap peruntukan lain di bawah Akta Imigresen,” katanya.
Beliau berkata pengurusan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia dilaksanakan berdasarkan dasar kerajaan yang diselaraskan melalui Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka, serta Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelarian dan Pemohon Suaka yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pendaftaran pelarian dan pemohon suaka yang berada di negara ini melalui Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
“Pelaksanaan DPP bertujuan membolehkan kerajaan mempunyai data yang lebih menyeluruh dan teratur berkaitan keberadaan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia.
“Sebarang keputusan berkaitan pengurusan pelarian ini adalah tertakluk kepada dasar yang ditentukan oleh MKN melalui Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelarian dan Pemohon Suaka,” katanya.
Zakaria berkata JIM kekal komited melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan imigresen secara tegas dan berlandaskan undang-undang serta dasar kerajaan yang ditetapkan.
-- BERNAMA