Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Isnin, disokong harga minyak mentah yang lebih kukuh serta kenaikan niaga hadapan minyak sawit olein di Bursa Komoditi Dalian (DCE), China.
Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata jangkaan terhadap risiko pengeluaran susulan keadaan cuaca bermusim dan berkaitan fenomena El Niño, selain sentimen positif terhadap permintaan pasaran India, menyokong harga minyak sawit.
“Faktor-faktor ini mendorong kontrak penanda aras November mencatat paras penutupan kedua tertinggi tahun ini,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak September 2026 meningkat RM90 kepada RM4,698 satu tan, Oktober 2026 menambah RM41 kepada RM4,816 satu tan, manakala November 2026 naik RM49 kepada RM4,978 satu tan.
Sementara itu, kontrak Disember 2026 mengukuh RM56 kepada RM5,110 satu tan, Januari 2027 meningkat RM67 kepada RM5,294 satu tan, manakala Februari 2027 menokok RM73 kepada RM5,347 satu tan.
Jumlah dagangan susut kepada 91,019 lot daripada 116,950 lot pada Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 337,392 kontrak daripada 334,025 kontrak sebelum ini.
Harga fizikal MSM bagi September Selatan mengukuh RM30 kepada RM4,700 satu tan.
-- BERNAMA