Am 07/09/2026 06:42 PM

Piala Remaja Asia 2026: Young Tigress Tewas 0-1 Kepada Korea Selatan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Piala Remaja Asia 2026: Young Tigress Tewas 0-1 Kepada Korea Selatan
Kredit: FB - Malaysian Hockey Confederation

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Skuad hoki remaja wanita kebangsaan mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dalam saingan kumpulan elit Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China, selepas tumpas 0-1 kepada Korea Selatan, hari ini.

Gol tunggal Korea Selatan itu dijaringkan Park Soyeon menerusi gol padang pada minit ke-45 yang kekal sehingga tamat permainan.

Skuad bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim membuka kempen dengan kekalahan 1-6 kepada tuan rumah, China pada Jumaat lepas dan dibelasah 1-11 oleh juara bertahan, India dalam perlawanan kedua kumpulan, semalam.

Malaysia dijadualkan bertemu Jepun pada Rabu ini bagi melengkapkan aksi dalam kumpulan elit sebelum memulakan pusingan suku akhir.

Mengikut format kejohanan, kesemua pasukan dalam Kumpulan Elit iaitu Malaysia, China, India, Jepun dan Korea Selatan sudah pun mengesahkan tempat ke kelompok lapan terakhir.

Mereka kini hanya menanti tiga lagi pasukan terbaik daripada kumpulan cabaran yang terdiri daripada Bangladesh, Taiwan, Hong Kong, Kazakhstan dan Pakistan.

Konfederasi Hoki Malaysia meletakkan sasaran utama buat pasukan remaja wanita untuk memburu satu daripada lima tiket ke Piala Dunia Remaja 2027.

Jika Malaysia berjaya menamatkan kejohanan dalam kelompok empat terbaik, ia akan menjadi pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan negara di Piala Remaja Asia.

 BERNAMA