Am 07/09/2026 04:46 PM

Keretapi Sarong Melaka 2026 Sasar Lebih 2,000 Peserta Semarakkan Sambutan Hari Malaysia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Keretapi Sarong Melaka 2026 Sasar Lebih 2,000 Peserta Semarakkan Sambutan Hari Malaysia
Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Nasrul Ahmad (tiga, kanan) bergambar bersama rakan strategik penganjur Program Keretapi Sarong Melaka pada sidang media Locco Keretapi Sarong 2026 Melaka di Banda Hilir. -- fotoBERNAMA (2026) HAKCIPTA TERPELIHARA

MELAKA, 7 Sept (Bernama) -- Lebih 2,000 peserta dijangka menyertai Keretapi Sarong Melaka 2026 bertemakan pakaian tradisional pelbagai kaum sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini.

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Nasrul Ahmad berkata peserta akan berkumpul di Muzium Kesultanan Melayu Melaka pada 7 pagi sebelum berarak sejauh kira-kira dua kilometer menuju ke Menara Taming Sari.

“Program ini akan menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan melibatkan masyarakat pelbagai etnik di Melaka termasuk Melayu, Baba dan Nyonya, Chetti serta Portugis.

“Uniknya pada tahun ini, peserta Keretapi Sarong akan berarak dengan bertemakan pakaian tradisional kaum masing-masing dan bersama-sama menyemarakkan semangat cintakan tanah air sempena sambutan Hari Malaysia,” katanya pada sidang media di Banda Hilir di sini hari ini.

Nasrul berkata bagaimanapun peserta tidak semestinya perlu mengenakan pakaian tradisional sepenuhnya kerana tema utama ialah bersarung, sama ada memakai kain pelikat, kain batik atau pakaian lain yang bersesuaian.

"Sepanjang perarakan, peserta akan disajikan dengan beberapa aktiviti dan persembahan kebudayaan di beberapa lokasi, termasuk di hadapan Muzium Rakyat dan kawasan Stadthuys," katanya.

Program Keretapi Sarong itu bermula di Lembah Klang dan semakin mendapat perhatian di seluruh negara, khususnya dalam kalangan anak muda yang ingin menzahirkan kreativiti menerusi pakaian tradisional.

-- BERNAMA