Am 07/09/2026 04:45 PM

ASTAF Perketat Pelaksanaan Sistem Cabaran Di Aichi-Nagoya 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
ASTAF Perketat Pelaksanaan Sistem Cabaran Di Aichi-Nagoya 2026
Kredit: FB - ASTAF

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) akan memperketat pelaksanaan Sistem Kamera Semakan Cabaran (Challenge Review Camera System) pada Sukan Asia ke-20 Aichi-Nagoya 2026 bagi memastikan keputusan pengadilan dibuat secara lebih tepat, telus dan adil.

Temasya yang berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt itu bakal menyaksikan acara sepak takraw dipertandingkan di Stadium Paloma Mizuho, Nagoya, Jepun.

ASTAF bersama Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) komited memastikan mutu pengadilan kekal pada tahap tertinggi selaras dengan Undang-Undang Permainan Sepak Takraw serta piawaian pengadilan antarabangsa.

“Langkah memperketat penggunaan Sistem Cabaran dilihat penting memandangkan sepak takraw merupakan sukan berintensiti tinggi dengan bola bergerak pada kelajuan tinggi, sekali gus menuntut ketepatan dalam setiap keputusan pengadilan.

“Sistem berkenaan menggunakan kamera berkadar bingkai tinggi (high-framerate cameras) yang membolehkan sesuatu aksi atau pergerakan pemain diteliti dengan lebih terperinci sekiranya keputusan pengadil dicabar,” menurut kenyataan ASTAF hari ini.

Menurut ASTAF, teknologi itu membolehkan semakan dilakukan dalam masa nyata berdasarkan bukti visual, sekali gus membantu pengadil membuat keputusan lebih tepat terutama dalam situasi yang sukar ditentukan menerusi pemerhatian secara langsung.

“Pelaksanaan Sistem Cabaran yang lebih ketat di Nagoya dijangka meningkatkan kredibiliti pertandingan, selain memperkukuh ketelusan dan integriti dalam proses pengadilan.

“Pada masa sama, penggunaan sistem itu diharap dapat mengurangkan pertikaian selepas perlawanan serta persoalan terhadap keputusan pengadil, sekali gus meningkatkan keyakinan pasukan dan pemain terhadap sistem pengadilan yang digunakan,” menurut kenyataan itu.

ASTAF turut memberi jaminan bahawa barisan pengadil akan terus menjalankan tanggungjawab secara profesional, manakala penggunaan teknologi berkenaan menjadi elemen penting dalam memastikan setiap pasukan mendapat layanan yang adil dan saksama sepanjang pertandingan.

-- BERNAMA