Am 07/09/2026 03:10 PM

Para SUKMA: Bibiana "Berlapar" Demi Emas, Pecah Rekod Kebangsaan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Para SUKMA: Bibiana
Atlet Sarawak Bibiana Ahmad meraikan kejayaan selepas merangkul pingat emas dalam acara powerlifting wanita sehingga 61 kilogram pada Temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC) hari ini.

SHAH ALAM, 7 Sept (Bernama) -- Pengorbanan hampir tidak menjamah makanan selama dua hari demi menurunkan berat badan ternyata berbaloi buat atlet para powerlifting Sarawak Bibiana Ahmad apabila meraih pingat emas Para Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di sini hari ini.

Bibiana turut memadam rekod kebangsaan 85 kilogram (kg) miliknya selepas melakukan angkatan 86kg pada saingan kategori lightweight bawah 61kg wanita yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC).

Pemenang pingat emas Sukan Para ASEAN 2025 dalam kategori 67kg itu mengakui beliau terpaksa melalui proses menurunkan berat badan secara drastik selepas sebelum ini lebih banyak beraksi dalam kategori yang lebih berat.

“Memang drastik, dalam dua hari saya tak makan. Saya hanya minum sedikit air dan ambil ubat pada waktu malam. Siang memang tak ambil apa-apa. Jadi, bila dapat keputusan macam ini, memang berbaloi,” katanya ketika ditemui selepas acaranya di sini.

Bibiana berkata keputusan untuk turun ke kategori bawah 61kg dibuat selepas perbincangan bersama jurulatih dengan mengambil kira persaingan yang lebih mencabar dalam kategori lebih berat.

“Ini kali pertama betul-betul kena struggle untuk turunkan berat badan sebab itu saya pun tak sangka dapat pecahkan rekod,” kata atlet berusia 38 tahun itu.

Sementara itu, atlet Perak Aphiradi Singchang meraih perak selepas melakukan angkatan 59kg dan Nurul Rabiatul Adawiyah Bakri dari Sarawak yang mencatat 56kg terpaksa berpuas hati dengan gangsa.

Dalam pada itu, atlet para powerlifting Kelantan Ahmad Shahmim Mohd Kadri melengkapkan hatrik pingat emas Para SUKMA selepas menjuarai kategori bawah 72kg lelaki.

Atlet berusia 24 tahun itu melakukan hatrik dalam kategori berat berbeza selepas menjuarai 49kg pada edisi 2022 di Kuala Lumpur dan 54kg pada 2024 di Sarawak sebelum meneruskan penguasaan dalam edisi kali ini.

Pada saingan hari ini, beliau turut memperbaharui rekod temasya sebanyak tiga kali, bermula dengan angkatan 161kg pada percubaan pertama untuk memadam catatan 157kg milik jurulatihnya Ma Hussein Mat Noh, sebelum meningkat kepada 166kg (percubaan kedua) dan 171kg menerusi percubaan ketiga.

Pingat perak diraih Muhamad Syalqi Mohd Shikri dari Perlis dengan angkatan 131kg dan gangsa menjadi milik atlet Johor Mohamad Auf Kasdan (115kg).

-- BERNAMA