BEIJING, 7 Sept (Bernama-CMG) -- Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) bukan sebuah blok yang menyasarkan mana-mana negara atau pertubuhan antarabangsa, kata Timbalan Pengerusi Pertama Senat Oliy Majlis Uzbekistan Sodiq Safoyev.
Beliau berkata matlamat SCO adalah untuk menggalakkan kerjasama antarabangsa, menghimpunkan kekuatan pelbagai negara serta bersama-sama menangani cabaran global.
Menurut Safoyev, sejak ditubuhkan pada awal abad ke-21, SCO mengamalkan pendekatan kerjasama pelbagai hala yang baharu.
“Kami dengan bangganya menyebutnya sebagai ‘Semangat Shanghai’, yang menyaksikan negara besar dan kecil membentuk model hubungan kerjasama baharu.
“Oleh itu, sejak awal lagi kami amat mementingkan semangat perkongsian dalam SCO,” kata beliau dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.
Safoyev berkata SCO pada peringkat awal memberi tumpuan kepada dua tonggak utama, iaitu keselamatan dan ekonomi.
Bagaimanapun, kerjasama pertubuhan itu kemudian diperluas ke bidang lain termasuk sosiobudaya, pendidikan dan perlindungan alam sekitar, sekali gus menarik perhatian semakin banyak negara.
Mengenai hubungan Uzbekistan-China, Safoyev berkata hubungan dua hala semakin kukuh selepas dinaik taraf kepada perkongsian strategik komprehensif sepanjang masa untuk era baharu pada 2024.
Beliau berkata hubungan kedua-dua negara mempunyai asas kukuh dan dibina berteraskan prinsip serta nilai bersama.
-- BERNAMA-CMG