CYBERJAYA, 7 Sept (Bernama) -- Usaha memperkukuh kerjasama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Pusat Komuniti Desa (PKD) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mencerminkan pendekatan kerajaan yang mengutamakan sinergi, pengoptimuman sumber dan penyampaian perkhidmatan yang memberikan manfaat kepada rakyat.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata NADI bukan lagi sekadar menyediakan komputer dan capaian Internet malah juga berkembang sebagai pusat maklumat dan pemerkasaan komuniti yang menghubungkan rakyat dengan kemahiran, peluang serta perkhidmatan kerajaan.
“Terdapat 191 PKD di bawah KKDW, lengkap dengan kemudahan, sumber dan jaringan bersama masyarakat. Berasaskan kekuatan yang dimiliki oleh PKD dan NADI, saya percaya terdapat ruang yang besar untuk kedua-duanya saling melengkapi dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Inilah semangat whole-of-government yang perlu kita terjemahkan. Bukan siapa yang memiliki sesuatu kemudahan, sebaliknya cara kemudahan dan sumber kerajaan yang tersedia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat,” katanya ketika berucap pada Sesi Bengkel Kerjasama Strategik PKD dan NADI di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Fahmi berkata pendekatan itu selari dengan usaha kerajaan memperkasakan konsep masyarakat tanpa tunai termasuk penggunaan dompet digital, yang kini perlu diperluas kepada penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“…harapan kami satu NADI sekurang-kurangnya melahirkan seorang prompt engineer. Sekiranya kita memupuk masa depan anak-anak muda, untuk memanfaatkan awan dan AI, maka mereka boleh mencipta aplikasi untuk membantu termasuk komuniti dan ekonomi setempat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata beliau mengarahkan MCMC supaya bertindak tegas terhadap penyalahgunaan platform e-dagang atau pasaran dalam talian bagi tujuan penjualan dadah termasuk dadah sintetik, fentanyl.
Beliau juga menerima mesej daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai gejala berkenaan yang dilihat semakin membimbangkan, katanya.
“Saya telah mengarahkan pihak MCMC (supaya bertindak tegas) dan selepas ini mereka ada satu pertemuan dengan satu daripada platform yang kita lihat terbabit dalam penyalahgunaan rangkaian yang membolehkan dadah seperti fentanyl ataupun yang disebut sebagai ‘piu-piu’ dijual di Malaysia,” katanya.
Fahmi berkata usaha kerajaan menyediakan akses Internet yang baik serta melengkapkan kemudahan PKD dan NADI bertujuan merapatkan jurang digital antara kawasan luar bandar, pinggir bandar dan bandar.
“Tapi sekiranya rangkaian komunikasi ini tidak selamat dan pengguna juga kurang arif, kurang fasih untuk menjaga keselamatan diri, bukan hanya jualan dadah yang boleh pergi ke merata tempat malah pelbagai masalah lain juga sudah pasti akan muncul termasuk masalah scam,” katanya.
-- BERNAMA