Am 07/09/2026 01:32 PM

Penjawat Awam Rugi Lebih RM150,000 Selepas Terperdaya 'Love Scam'

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Penjawat Awam Rugi Lebih RM150,000 Selepas Terperdaya 'Love Scam'

KUANTAN, 7 Sept (Bernama) -- Seorang penjawat awam wanita kerugian lebih RM150,000 selepas diperdaya lelaki warga asing yang dikenalinya melalui aplikasi sosial, antara April hingga Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Mohd Shahril Abd Rahman berkata mangsa berusia 30 tahun itu berkenalan dengan suspek yang mendakwa dirinya seorang pengurus projek dan bekerja di Turkiye melalui aplikasi sosial sejak April lepas.

Beliau berkata suspek memperdaya mangsa supaya menyerahkan wang secara berperingkat dengan alasan akaun miliknya dibekukan pihak bank, selain memerlukan wang bagi meneruskan projek yang diuruskannya serta menampung perbelanjaan peribadi.

"Mangsa membuat 35 transaksi ke 10 akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM151,967 antara 22 April hingga 26 Ogos menggunakan wang simpanan peribadi termasuk pinjaman bank bagi memenuhi permintaan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shahril berkata wanita itu menyedari dirinya diperdaya apabila suspek menyekat mesejnya di aplikasi sosial itu dan selepas mendapat nasihat daripada seorang rakan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Mohd Shahril turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan individu yang baru dikenali menerusi laman sosial tanpa menyemak latar belakang mereka dengan teliti, terutama apabila dipujuk melakukan transaksi wang bagi tujuan tidak jelas.

"Orang ramai juga dinasihatkan membuat semakan nombor akaun, nombor telefon atau nama syarikat yang mencurigakan menerusi laman web Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi," katanya.

-- BERNAMA