Am 07/09/2026 12:23 PM

400 Anak Tuntung Sungai Dilepas Ke Habitat Semula Jadi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
400 Anak Tuntung Sungai Dilepas Ke Habitat Semula Jadi
Kredit: Arthur Joseph Kurup

KUALA TERENGGANU, 7 Sept (Bernama) -- Sebanyak 400 ekor anak tuntung sungai dilepaskan ke habitat semula jadinya di Sungai Terengganu, Kuala Berang dekat Hulu Terengganu hari ini dalam usaha memperkasa pemuliharaan spesies terancam, sekali gus memelihara khazanah biodiversiti negara.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata Program Pelepasan Tuntung anjuran Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia yang disempurnakannya itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memulihkan populasi reptilia berkenaan di negara ini.

“Tuntung sungai adalah antara spesies hidupan liar unik yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem akuatik.

“Ancaman terhadap habitat dan risiko kepupusan spesies ini perlu ditangani secara serius. Melalui inisiatif pembiakan, pemeliharaan dan pelepasan semula oleh Perhilitan, kami berhasrat meningkatkan pemulihan populasi tuntung di sepanjang lembangan sungai negara,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Arthur berkata NRES sentiasa menyokong program konservasi berasaskan komuniti dan sains bagi memastikan kelangsungan spesies hidupan liar yang semakin terancam.

Beliau bagaimanapun berkata keberkesanan usaha konservasi seumpama itu tidak hanya bergantung kepada agensi kerajaan, sebaliknya memerlukan kerjasama dan sokongan berterusan masyarakat setempat dalam menjaga kebersihan serta keselamatan habitat sungai.

-- BERNAMA