Am 30/08/2026 06:38 PM

Semangat Kemerdekaan Perlu Terus Disemai, Semua Kaum Bersatu Bina Negara - Anwar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Semangat Kemerdekaan Perlu Terus Disemai, Semua Kaum Bersatu Bina Negara - Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan hadirin ketika tiba pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

PUTRAJAYA, 30 Ogos (Bernama) -- Semangat kemerdekaan perlu terus disemai dalam jiwa dan pemikiran setiap rakyat Malaysia dengan semua kaum bersatu membina negara, mempertahankan hak serta menegakkan keadilan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kemerdekaan bukan sekadar membabitkan sistem dan negara, sebaliknya lebih penting ialah memastikan setiap rakyat memiliki jiwa yang benar-benar merdeka.

“Ini hambatan dan cabaran paling besar. Sebab itu, untuk membina semula dari robohan, menanam di jiwa dan pemikiran kita semangat kemerdekaan. Maka, kita harus bersatu.

“Siapa yang harus bersatu? Bapa-bapa kita sebut bukan bersatu kaum atau daerah atau wilayah, tetapi bersatu setiap dan segenap baka. Maknanya, segenap warga. Orang Melayu tentunya beliau sebut sebagai induk dan Bumiputera, tapi semua suku kaum harus terus bersatu memainkan peranan untuk membela hak keadilan pusaka,” katanya ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, barisan jemaah menteri dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Perdana Menteri berkata semangat itu perlu diterjemahkan dalam usaha membina sebuah negara MADANI dengan mengambil iktibar daripada keberanian tokoh pejuang terdahulu seperti Hang Tuah, Tok Janggut, Mat Kilau, Rosli Dhobi, Rentap, Mat Salleh dan Antanom.

“Pemimpin-pemimpin kita menghadapi liku-liku dengan berani dan mengajak seluruh rakyat bersatu, bermuafakat, menjaga amanah dan janji perisytiharan kemerdekaan serta membina semula selepas robohan Kota Melaka,” katanya.

Beliau berkata Malaysia wajar bersyukur kerana walaupun berdepan pelbagai permasalahan, pasang surut serta cabaran, negara ini masih kekal sebagai antara negara yang aman, disatukan kekuatan kemanusiaan merentasi perbezaan kaum, agama dan latar belakang.

Anwar berkata Malaysia juga telah membuktikan kepada dunia bahawa kekuatan perpaduan mampu menjamin kelangsungan negara, khususnya selepas kemerdekaan pada 1957 apabila terdapat pihak yang meragui kemampuan Tanah Melayu untuk bertahan serta menghimpunkan kekuatan semua kaum.

“Semasa Merdeka 1957, kalau kita teliti liputan media asing, mereka tidak percaya Malaya atau Tanah Melayu pada ketika itu mampu bertahan dan merangkul kekuatan semua kaum, kerana pengalaman di banyak negara-negara Asia, Afrika dan di Amerika berkecai.

“Tetapi kita buktikan kita bertahan. Bukan tidak ada musim tragis dan tragedi, tetapi kita bertahan. Malah dengan wawasan besar pemimpin, negarawan pada ketika itu bersama tokoh-tokoh agung besar dari Malaysia dari satu, sekarang bergabung tiga kekuatan, Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Anwar dalam pada itu berkata Malaysia terus mencatat beberapa kejayaan mutakhir ini hasil keupayaan negara menongkah arus dan mendepani pelbagai cabaran.

“Di tengah-tengah kemelut geopolitik yang tidak menentu, KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) kita masih berkembang. Alhamdulillah, suku kedua 2026, KDNK Malaysia berkembang enam peratus.

“Pelaburan yang diluluskan dan jumlah dagangan tercatat paling tinggi dalam sejarah sejak 1957 dan 1963, daya saing Malaysia melonjak ke tangga 15 pada 2026 dan kekuatan dana kita, Ringgit, muncul sebagai mata wang terbaik Asia 2025,” katanya.

Perdana Menteri berkata pencapaian itu tidak terhasil dalam sekelip mata, sebaliknya merupakan hasil usaha dan khidmat yang dibina sejak negara mencapai kemerdekaan.

Beliau berkata Kerajaan MADANI memilih jalan sukar membetulkan asas negara dengan memperkukuh tatakelola, mengembalikan disiplin fiskal, menutup ruang dan membina keyakinan terhadap Malaysia.

Sehubungan dengan itu, Anwar menyeru rakyat Malaysia untuk terus bersatu padu membangunkan negara, tanpa mengira latar belakang.

“Saudara-saudari dan anak-anak Malaysia, bangkitlah, rapatkan saf, teguhkan muafakat, satukan tenaga dan ikhtiar. Kita mempunyai satu tanah air Malaysia.

“Kita mewarisi sejarah satu negara Malaysia dan kita bertanggungjawab menjamin masa depan yang hebat. Malaysia yang tangkas. Malaysia yang lebih gagah. Malaysia yang mampu diangkat martabatnya ke mercu gemilang. Ini tekad kita ketika kita menyambut Hari Kemerdekaan,” katanya.

-- BERNAMA