SIK, 28 Ogos (Bernama) -- Keluarga anggota pasukan khas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 44, yang masih belum dapat dihubungi selepas kejadian banjir kilat dan tanah runtuh di Rasuwa, Nepal, berharap beliau bersama rakan-rakannya ditemukan selamat.
Abangnya, Mohd Saiful Munir Mohd Isa, 46, berkata keluarganya mahu berfikiran positif dan percaya masalah komunikasi antara mereka berpunca daripada bencana yang menjejaskan kawasan berkenaan.
Mereka sekeluarga, katanya, tidak putus-putus berdoa agar pendaki profesional yang lebih dikenali sebagai Loe itu serta kumpulannya dapat ditemukan dan dihubungi segera.
"Kita doakan yang baik sahaja, kita berfikiran positif bahawa dia selamat. Kita ambil satu keadaan untuk mengharmonikan dalam situasi musibah ini dengan pandangan yang positif, bahawa sebenarnya dia masih dalam keadaan terperangkap.
"Tetapi, kita kena reda juga dengan keadaan, kalau situasi menjadi lebih buruk," katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Mohd Saiful Munir berkata keluarga mereka juga tidak menganggap perjalanan Loe ke Nepal sebagai sesuatu yang luar biasa memandangkan adiknya itu sememangnya sangat aktif dalam aktiviti mendaki dan sering berkunjung ke negara berkenaan.
"Dia memang selalu ke luar negara untuk aktiviti mendaki. Jadi, kami sudah biasa dengan keberadaan dia di luar negara kerana dia memang aktif.
"Boleh dikatakan rumah kedua dia di Nepal … dalam setahun, hampir tiga ke lima kali dia akan ke Nepal," katanya yang turut memberitahu Loe juga gemarkan aktiviti berbasikal.
Mohd Saiful Munir yang juga Pegawai Operasi di Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang berkata kali terakhir beliau berhubung dengan Loe kira-kira seminggu lepas sebelum dia berlepas ke Nepal.
Beliau berkata berdasarkan laluan pergerakan kumpulan berkenaan, mereka berkemungkinan berada di sekitar kawasan lembah ketika kejadian.
"Bila isu ini tular, sebenarnya perkara ini masih belum disahkan oleh pihak berkuasa. Akibat daripada tanah runtuh yang berlaku itu mungkin menyebabkan terputus hubungan komunikasi. Segala syarikat telekomunikasi, segala pencawang semua runtuh dan lumpuh di sana.
"Jadi, kita anggap itu hanyalah satu musibah yang dia sebenarnya terperangkap dekat sana dan tidak boleh berhubung," katanya yang hanya akan mendapatkan maklumat rasmi daripada pihak berkuasa.
Semalam, media melaporkan dua pegawai JBPM antara rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi susulan kejadian banjir kilat di Rasuwa, Nepal.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad dilaporkan berkata seorang daripada mereka bertugas sebagai Timbalan Pengarah Bahagian di Ibu Pejabat JBPM, manakala seorang lagi ialah pegawai di Akademi JBPM Wilayah Tengah.
Kedua-dua pegawai itu ialah Mohd Sani Harul dan Mohd Fakhrul Munir, yang merupakan sebahagian daripada sekumpulan 10 rakyat Malaysia dalam perjalanan menuju Everest Base Camp (EBC).
Mohd Fakhrul Munir juga merupakan anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantik Allahyarham Datuk Mohd Isa Shafie.
-- BERNAMA